Tahan warga asing: KRPPM gesa kerajaan pertimbang semula cadangan

Astro Awani
Jun 3, 2021 06:33 MYT
Kenyataan bersama ahli parlimen pembangkang dan kerajaan itu menegaskan tindakan kerajaan tidak boleh diterima apabila masih menganggap penangkapan dan pemenjaraan warga asing dapat mengawal pandemik COVID-19. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM), membantah rancangan kerajaan untuk melakukan penahanan warga asing tanpa dokumen sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.
Kenyataan bersama ahli parlimen pembangkang dan kerajaan itu menegaskan, tindakan kerajaan tidak boleh diterima apabila masih menganggap penangkapan dan pemenjaraan warga asing dapat mengawal pandemik COVID-19.
Mereka pada masa sama menggesa kerajaan mempertimbangkan semula cadangan itu selain terus fokus kepada usaha mengurangkan kepadatan penjara.
“Adakah anda lupa insiden gelombang ketiga yang berpunca daripada kelompok penjara di Sabah pada September 2020?’
“Adakah anda lupa lebih daripada puluhan ribu kes COVID-19 selama beberapa bulan lalu dan kini merebak di penjara seluruh negara, mengancam nyawa orang di penjara, kakitangan penjara, keluarga mereka dan masyarakat kita?
Dalam satu kenyataan, tindakan itu disifatkan sebagai tidak produktif untuk membendung penularan COVID-19 malah membahayakan masyarakat.
Kenyataan bersama itu dibuat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Nurul Izzah Anwar, Datuk Mohd Azis Jamman dan Liew Chin Tong.
Turut serta Pensyarah Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, dan peguambela dan peguamcara Karpal Singh & Co Sangeet Kaur Deo.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Polis Diraja Malaysia akan melancarkan operasi bersama bagi menahan pekerja asing tanpa dokumen dalam tempoh dua minggu sekatan pergerakan penuh.
BACA: Operasi besar-besaran pastikan pendatang tanpa izin divaksinasi - Hamzah
#sekatan pergerakan penuh #COVID-19 #Malaysia #pekerja asing #pembangkang #Imigresen #Polis Diraja Malaysia #warga asing #pandemik #Dewan Rakyat #Parlimen
;