'Tahan Tun Mahathir jika benar dialah dalangnya' - Saifuddin
Madiha Abdullah
Julai 6, 2015 21:11 MYT
Julai 6, 2015 21:11 MYT
Jika benar Tun Mahathir adalah dalang yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengambil wang dari 1MDB, pihak berkuasa sepatutnya tidak berlengah lagi untuk membuat tangkapan.
Bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak segera menahan Tun Mahathir jika ada kebenaran dalam dakwaan tersebut.
Hal itu diluahkan Saifuddin dalam laman Twitternya.
Semalam, Najib mendakwa bekas Perdana Menteri keempat itu merupakan individu di sebalik pembohongan yang dibuat Wall Street Journal dan Sarawak Report, berkaitan isu skandal 1MDB.
Kata Najib, Tun Mahathir berbuat demikian kerana keengganannya tunduk kepada permintaan bekas perdana menteri itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Fello Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong menyarankan agar Najib membuktikan dakwaan tersebut.
Tanpa bukti, Dr.Teo berkata, dakwaan tersebut hanyalah satu dakwaan tidak berasas semata-mata.