Tahan sakit enam jam, jari tersekat cincin

Vivi Sumanti
Jun 25, 2019 20:32 MYT
Seramai empat anggota bomba dikejarkan ke hospital untuk membantu mengeluarkan cincin yang tersekat pada jari kanak-kanak itu. - Foto Sinar Harian
Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun terpaksa menahan kesakitan hampir enam jam selepas sebentuk cincin tersekat pada jari manis tangan kirinya dalam satu kejadian pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan selepas jari manisnya itu mulai membengkak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 1.45 petang.
"Seramai empat anggota dikejarkan ke hospital untuk membantu mengeluarkan cincin yang tersekat pada jari kanak-kanak itu.
"Mangsa terlebih dahulu disuntik menggunakan ubat bius kerana pihak kami bimbang jarinya yang membengkak itu berasa sakit ketika cincin dipotong," katanya.
Wan Baijuri berkata, peralatan khas digunakan untuk memotong cincin itu dan mengambil masa selama 20 minit.
"Selepas cincin berjaya dikeluarkan dari jari manis kanak-kanak itu, mangsa diserahkan semula kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut," katanya.
#bengkak #cincin #Hospital #Hospital Tumpat #jari manis #Kanak-kanak #mangsa #Wan Baijuri Wan Hassan
;