Tahan sakit 30 minit, kepala tersepit di jeriji pintu

Bernama
Januari 9, 2017 01:33 MYT
Kanak-kanak berkenaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan. - Gambar hiasan
Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terpaksa menahan sakit kira-kira 30 minit apabila kepalanya tersepit pada jeriji pintu hadapan rumahnya ketika bermain pada Ahad.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata kejadian berlaku di Taman Seri Andalas Klang dekat sini pada kira-kira pukul 8.30 malam.
"Datuk kepada mangsa telah hadir sendiri ke Balai Bomba dan Penyelamat Andalas bagi melaporkan kejadian berkenaan.
"Sepasukan enam anggota bomba tiba di rumah mangsa pada pukul 8.56 malam, mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan kepala yang tersepit dengan menggunakan pemotong khas," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
-- BERNAMA
#Kanak-kanak #pintu #sakit #tersepit