TAGS keluar award pertama bagi aduan gangguan seksual - KPWKM
Bernama
Julai 12, 2024 11:10 MYT
Julai 12, 2024 11:10 MYT
PUTRAJAYA: Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) mengeluarkan award untuk aduan pertama melibatkan gangguan seksual secara fizikal oleh seorang majikan lelaki terhadap pekerja wanita.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan award itu dikeluarkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pertama pendengaran iaitu pada 23 Mei lepas selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 19(1) Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840].
TAGS mendapati pengadu berjaya membuktikan responden telah melakukan gangguan seksual ke atasnya setelah mempertimbangkan keterangan dan bukti yang dikemukakan.
"Justeru, TAGS memerintahkan responden untuk membuat pernyataan permohonan maaf sebagaimana yang dipohon oleh pengadu," menurut kenyataan KPWKM di sini hari ini.
TAGS menyediakan satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum.
KPWKM menyeru mangsa gangguan seksual untuk tampil membuat aduan di kaunter tribunal bagi Antigangguan Seksual di KPWKM atau menghubungi Talian Kasih 15999 untuk sebarang pertanyaan.
-- BERNAMA