Tadika, taska di Selangor disaran jalan saringan penyakit HFMD
Azyyati Ahmad
Ogos 12, 2016 21:52 MYT
Ogos 12, 2016 21:52 MYT
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengeluarkan garis panduan kawalan dan pencegahan penyakit Tangan Kaki dan Mulut (HFMD) bagi mengelakkan ia terus menular di negeri itu.
Antara lain, garis panduan itu menasihatkan pihak pengusaha taska, tadika dan lain-lain pusat jagaan kanak-kanak agar menjalankan saringan bagi memastikan tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum kanak-kanak dibenarkan memasuki premis.
"Pengusaha taska dan tadika juga dinasihatkan untuk memastikan tahap kebersihan premis mereka berada dalam keadaan optimum," menurut jabatan itu dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI hari ini.
Selain itu, ibu, bapa dan penjaga kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan diminta mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut:
- Tidak membawa anak yang dijangkiti HFMD ke tempat-tempat awam seperti seperti sekolah, taska, tadika dan pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.
- Segera membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.
- Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh atau merawat lepoh (blister) dan semasa mencuci najis kanak-kanak tersebut.
- Membersihkan permainan anak serta lantai rumah terutama tandas menggunakan larutan klorin.
- Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.
- Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan anak-anak yang lain.
Pada Khamis, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan bahawa Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi HFMD iaitu 7,471 kes diikuti Sarawak 3,007 kes.
Menurutnya tiga daerah di Selangor yang mencatat bilangan kes tertinggi adalah Petaling (2,699), Hulu Langat (1,801) dan di Klang (1,023 kes).