Tadbir urus yang pincang akan melemahkan takhta - Sultan Nazrin

Astro Awani
Mac 4, 2023 18:13 MYT
Sultan Nazrin bertitah, takhta wajib memperlihatkan sebaik contoh dalam memenuhi amanah Ilahi, dan dalam memenuhi harapan rakyat. - Foto BERNAMA
KUALA KANGSAR: Raja pemerintah perlu berupaya mentafsir dinamik sedang berlaku dengan hikmah dan kebijaksanaan, seterusnya melakar ruang peranan serta paksi baharu, yang lebih bertepatan dalam era yang sudah berubah.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, dinamik yang berlaku sekarang menuntut kepada budaya ketelusan serta keterbukaan.
Titah baginda, tadbir urus yang pincang akan merosakkan negara dan akhirnya turut melemahkan takhta.
Sehubungan itu, titah Sultan Nazrin, menjadi tanggungjawab takhta mengawasi dan menzahirkan teguran serta nasihat secara berterus terang kepada para pemimpin agar mentadbir negara secara amanah, telus, ikhlas dan jujur, sekali gus memastikan kestabilan kerajaan, memakmurkan kekayaan negara, dan menjamin kesejahteraan warga.
"Tanpa warga tidak akan terbina sebuah negara, tanpa negara tidak akan ada kedaulatan takhta.
"Takhta juga perlu menghargai harapan tinggi rakyat yang memohon agar takhta berperanan sebagai penimbang tara, secara adil, secara saksama, tidak memihak dan kekal mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian.
"Takhta perlu bertenaga, memenuhi peranan sebagai payung penyatuan, memenuhi harapan rakyat, sebagai pemangkin, mengharmonikan hubungan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.
"Peranan takhta sebagai payung penyatuan dalam kepelbagaian perlu difahami, dilaksanakan dan kelihatan dilaksanakan," titah baginda pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Baginda di Istana Iskandariah, hari ini.
Institusi Istana | Raja pemerintah perlu tafsir dinamik yang sedang berlaku
Sultan Nazrin bertitah, takhta wajib memperlihatkan sebaik contoh dalam memenuhi amanah Ilahi, dan dalam memenuhi harapan rakyat, agar kemuliaannya tidak tercemar, dan kedaulatan raja tidak dipersenda.
Titah baginda, nasihat yang benar secara ikhlas, jujur lagi bertanggungjawab perlu disembahkan kepada raja pemerintah dan mereka jangan dikhayalkan dengan cerita-cerita penghibur telinga hingga berada dalam alam tersendiri, jauh daripada realiti keadaan kesusahan hidup yang dialami rakyat.
#Sultan Nazrin Shah #Sultan Perak #tadbir urus #takhta
;