Taburan hujan tinggi sumbang kepada banjir luar biasa

Nur Fazlizai Ali
November 11, 2021 08:13 MYT
500 PPS bersedia diaktifkan pada bila-bila masa bagi menempatkan mangsa yang terjejas. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Taburan hujan tinggi yang bertembung dengan fenomena air pasang dibimbangi akan menyumbang kepada banjir luar biasa terutamanya di kawasan rendah.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Hanafiah Mat berkata, berikutan itu lebih 500 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga bersedia diaktifkan pada bila-bila masa bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
Katanya semua pihak juga telah bersiap sedia bersama kekuatan anggota dan pegawai serta aset masing-masing bagi menghadapi bencana alam itu.
"Di peringkat agensi kerajaan semua peralatan telah pun bersiap siaga bagi mengalihkan mangsa yang terlibat dengan air pasang besar ini.
"Air pasang besar ini pun tidak lama, dalam masa dua tiga jam ia akan surut kembali. Cuma kita bimbang ketika berlaku pasang besar, hujan lebat turun, air daripada hulu itu akan berlaku pertembungan air menyebabkan berlaku banjir besar," katanya.
Beliau berkata kawasan rendah di seluruh negeri itu berisiko dilanda banjir namun bergantung pada tahap cuaca serta taburan hujan di kawasan terbabit.
Hanafiah berkata pada tahun lalu pertembungan air sungai dari hulu, disusuli hujan dan fenomena air pasang besar menyebabkan daerah Kemaman dilanda banjir besar.
Situasi itu menyebabkan limpahan air sehingga ke kawasan bandar Chukai dengan menyaksikan lebih 8,000 keluarga berpindah ke PPS.
#banjir #Taburan hujan #air pasang besar #PPS
;