Taburan hujan sebulan turun dalam masa 24 jam, hanya berlaku 100 tahun sekali

Fareez Azman
Disember 19, 2021 09:43 MYT
Banjir besar yang melanda Lembah Klang semalam disebabkan rekod taburan hujan dalam tempoh sebulan turun dalam masa 24 jam. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Banjir besar yang melanda Lembah Klang semalam disebabkan rekod taburan hujan dalam tempoh sebulan turun dalam masa 24 jam.
Demikian jelas Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.
Ujarnya, perkara itu d iluar jangkaan walaupun kesemua agensi telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Taburan hujan 24 jam di Sentul sebanyak 363 milimeter, di tempat lain seperti di kilometer 11 daerah Gombak sebanyak 247 milimeter, di Jinjang 258 milimeter dan di Jalan Tun Razak 273 milimeter.
"Berbanding keseluruhan taburan hujan di kawasan kira-kira 2400 milimeter setahun. Tetapi semalam jumlah hujannya dalam masa sehari bersamaan lebih sebulan, ini sesuatu di luar jangkaan, perkara ini berlaku lebih 100 tahun sekali," jelasnya dalam sidang media di Pusat Kawalan SMART JPS di ibu negara pada Ahad.
Mengulas lanjut, Zaini berkata, JPS turut mengambil langkah melepaskan air di Empangan Batu dengan bukaan 300 milimeter atau 20 peratus daripada keseluruhan bukaan pada jam 11.15 pagi.
"Pelepasan air masih lagi dipantau memandangkan sehingga pagi ini aras air kekal di paras 104.7 meter.
"Dalam pada itu, kesemua aset-aset JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seperti rumah pam dan pintu air telah dioperasikan pada tahap maksimum," katanya.
Meskipun ketika ini Jabatan Meterologi Malaysia mejangkakan taburan hujan berkurangan pada hari ini kerana sistem cuaca tekanan rendah, namun kata Zaini, langkah berjaga jaga juga diambil terutama di kawasan Pantai Timur ketika ini.
"JPS melaporkan Sungai Kuantan, Sungai Kemaman dan Sungai Terengganu menunjukkan trend aras air menaik dan diramalkan akan melepasi aras bahaya jika hujan masih bertersuan," jelasnya lagi.
#Taburan hujan #100 tahun sekali #banjir #Empangan Batu #Lembah Klang #JPS