Taburan hujan rendah sebabkan panas, kering hingga September - MetMalaysia

Astro Awani
Julai 27, 2024 07:00 MYT
Keadaan hujan yang kurang dijangka masih berlaku sepanjang tempoh monsun barat daya sehingga bermula fasa peralihan monsun pada pertengahan September depan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Taburan hujan yang rendah dijangka berterusan hingga bermula fasa peralihan monsun dengan situasi itu menyebabkan Malaysia berdepan cuaca lebih panas dan kering hingga pertengahan September.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, keadaan itu berlaku berikutan negara berada dalam musim monsun barat daya sejak 17 Mei lalu.
Dalam tempoh ini jelasnya, kebanyakan kawasan akan mengalami cuaca kering berikutan kurangnya penumpuan udara lembap untuk menghasilkan hujan.
Selain itu, kemunculan dua ribut siklon tropika di utara Laut China Selatan iaitu Taufan Gaemi dan Ribut Tropika Prapiroon sejak beberapa hari lalu menyebabkan cuaca rantau negara menjadi lebih kering berbanding kebiasaan.
Beliau berkata, cuaca dijangka kembali kepada keadaan normal selepas 27 Julai apabila dua ribut siklon terbabit mulai melemah.
Bagaimanapun, keadaan hujan yang kurang dijangka masih berlaku sepanjang tempoh monsun barat daya sehingga bermula fasa peralihan monsun pada pertengahan September depan.
Mengenai kemungkinan negara berdepan tahap tiga gelombang haba ekstrim dengan suhu maksimum 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut, Muhammad Helmi berkata, ia dijangka tidak berlaku berdasarkan rekod suhu ekstrim terdahulu.
Memperincikan tahap gelombang haba ekstrim, jelasnya ia lazimnya berlaku ketika penghujung monsun timur laut dan fasa peralihan monsun pada Februari hingga Mei.
Setakat ini, tiada kawasan yang diramalkan terkesan dan memasuki tahap tiga gelombang haba ekstrim.
Sementara itu, menerusi laman web MetMalaysia mengenai status cuaca panas di Semenanjung Malaysia setakat 4 petang Sabtu, beberapa bandar mencatatkan cuaca panas tahap dua.
Berdasarkan infografik terbabit, kawasan yang berada dalam kategori itu adalah Kelantan iaitu di Pasir Mas dan Kuala Krai, satu kawasan di Kedah iaitu Kuala Muda dan di Perak, Larut dan Matang manakala di Sarawak kawasan terlibat ialah Bintulu dan Sri Aman.
Kriteria status cuaca panas tahap dua yang turut dinamakan sebagai berdepan 'gelombang haba' adalah suhu maksimum 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
#cuaca panas #MetMalaysia #Monsun Barat Daya #suhu ekstrim
;