Taburan hujan rendah mulai 14 Mei, risiko jerebu meningkat

Astro Awani
Mei 10, 2022 12:31 MYT
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, fenomena jerebu juga boleh berlaku dalam tempoh monsun ini sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal, terutamanya dalam tempoh dari Ogos hingga Oktober. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kebanyakan kawasan di seluruh negara dijangka mengalami taburan hujan yang rendah mulai 14 Mei ini hingga pertengahan September selaras dengan permulaan Monsun Barat Daya.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena jerebu juga boleh berlaku dalam tempoh monsun ini sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal, terutamanya dalam tempoh dari Ogos hingga Oktober.
“Semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.
“Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini. Sehubungan dengan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan
lebih banyak berbanding musim lain,” kata MetMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Sehubungan itu, MetMalaysia menyarankan supaya pembakaran terbuka dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar serta supaya air digunakan secara lebih berhemah sepanjang tempoh ini.
Namun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.
#Monsun Barat Daya #MetMalaysia #jerebu #hujan
;