Taburan hujan 20 hingga 40 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas - METMalaysia

Bernama
November 7, 2024 15:45 MYT
Fenomena La Nina di negara ini dijangka berintensiti lemah hingga sederhana dan tidak memberi kesan yang ketara dari segi corak taburan hujan. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung dan utara serta timur Sabah dijangka menerima taburan hujan melebihi 20 hingga 40 peratus pada musim Monsun Timur Laut tahun ini berbanding tahun lepas.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Mohd Hisham Mohd Anip berkata situasi itu berlaku memandangkan Monsun Timur Laut pada tahun ini berlaku serentak dengan fenomena La Nina.
"Tahun lepas Monsun Timur Laut kita berada dalam fasa El Nino. Biasanya El Nino ini boleh sebabkan cuaca kita kurang hujan berbanding kebiasaan, namun tahun ini diganti dengan La Nina.
"Berdasarkan situasi itu, ramalan jangka panjang kebanyakan model menunjukkan kita akan menerima lebih hujan 20 hingga 40 peratus berbanding tahun lepas," katanya yang ditemui selepas menjadi tetamu program temu bual hari ini.
Mohd Hisham berkata berdasarkan maklumat kajian terkini, fenomena La Nina di negara ini dijangka berintensiti lemah hingga sederhana dan tidak memberi kesan yang ketara dari segi corak taburan hujan.
"Berdasarkan kepada model (kajian) sekarang ini, La Nina mungkin tidak seperti yang dijangka saintis beberapa bulan lepas. Beberapa bulan lepas mungkin boleh capai kekuatan hingga tahap sederhana, tapi sekarang ini dah turun pada tahap lemah... mungkin tiada kesan sangat," katanya.
Bagaimanapun katanya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara sentiasa mengingatkan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana supaya sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
-- BERNAMA
#negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung #MetMalaysia #Taburan hujan #monsun timur laut #Sabah #fenomena La Nina
;