Tabung Khas Kemanusiaan Rakyat Palestin kutip lebih RM700,000 - Exco Johor

Bernama
November 10, 2023 08:00 MYT
Mohd Fared berkata, bagi menggalakkan umat Islam di Johor agar terus menyumbang, JAINJ telah melanjutkan tempoh kutipan Tabung Khas Kemanusiaan Rakyat Palestin dari 10 hingga 17 Nov depan. - Gambar fail BERNAMA
JOHOR BAHRU: Sebanyak RM796,184.75 berjaya dikutip menerusi Tabung Khas Kemanusiaan Rakyat Palestin yang dianjurkan kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata Tabung Khas Kemanusiaan Rakyat Palestin digerakkan oleh semua masjid dan surau di negeri ini bermula 27 Okt hingga 3 Nov lepas.
"Sebanyak RM607,304.55 diperoleh dari masjid manakala RM188,880.20 dari hasil kutipan surau di seluruh negeri Johor.
"Kutipan juga dibuat oleh Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor melalui Pejabat Pendidikan Islam Daerah dan dianggarkan kutipan yang dikumpul adalah sebanyak RM200,000.
"Kutipan tersebut telah disalurkan terus ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin Kementerian Luar Negeri Malaysia," katanya dalam kenyataan semalam.
Mohd Fared dalam pada itu berkata sebagai usaha untuk menggalakkan umat Islam di Johor agar terus menyumbang, JAINJ telah melanjutkan tempoh kutipan tersebut dari 10 hingga 17 Nov depan.
"Diharapkan agar sumbangan ini mampu meringankan beban yang sedang dihadapi oleh rakyat di bumi Palestin.
"Kita juga telah mengarahkan semua masjid dan surau untuk melaksanakan Qunut Nazilah secara Jahar dalam solat lima waktu termasuk solat Jumaat dan melaksanakan solat sunat hajat selepas solat fardhu maghrib bermula 6 Nov lepas, bagi memohon agar peperangan, kesulitan dan kemudaratan yang dihadapi oleh rakyat Palestin segera berakhir," katanya.
-- BERNAMA
#tabung #Palestin #Tabung Khas Kemanusiaan Rakyat Palestin #Jabatan Agama Islam Negeri Johor
;