Tabung Kemanusiaan Palestin bagi perkhidmatan awam peringkat JPM dilancar

Bernama
Oktober 26, 2023 12:37 MYT
Mohd Zuki berkata tabung itu dilancarkan bagi membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang terkesan akibat konflik di Semenanjung Gaza. - Gambar FB Mohd Zuki
PUTRAJAYA: Tabung Kemanusiaan Palestin bagi Perkhidmatan Awam peringkat Jabatan Perdana Menteri dilancarkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini.
Mohd Zuki dalam catatan di laman Facebook miliknya berkata tabung itu dilancarkan bagi membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang terkesan akibat konflik di Semenanjung Gaza.
"Saya berharap agar sumbangan dari penjawat awam ini dapat membantu untuk mencapai objektif kutipan rakyat Malaysia yang disasarkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sejumlah RM100 juta," katanya.
Pada 19 Okt lepas, Anwar dilaporkan berkata kutipan tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan Kementerian Luar telah berjumlah RM81 juta, menghampiri sasaran RM100 juta.
Tabung AAKRP diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini dengan kerajaan telah menyumbang RM10 juta dana awal tabung itu.
Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt lepas telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak.
-- BERNAMA
#konflik keganasan #Tabung Kemanusiaan Palestin #Semenanjung Gaza #Kementerian Luar