Tabung Kasih@HAWANA terus santuni pengamal media

Bernama
Mac 20, 2024 07:00 MYT
Anwar dan Fahmi bersama wartawan veteran dan bekas pengamal media uzur yang menerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA semasa majlis Berbuka Puasa MADANI bersama pengamal media di Kompleks Seri Perdana, malam tadi. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kebajikan media terus diberi perhatian apabila sebanyak 10 pengamal media yang berdepan masalah kesihatan menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA, hari ini.
Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA itu disampaikan pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pengamal media di Kompleks Seri Perdana di sini, menjadikan jumlah penerima bantuan tabung berkenaan ialah 47 orang.
Seorang penerima, Jamhariah Jaafar, 61, yang merupakan bekas wartawan Berita Harian menzahirkan rasa syukur terhadap keprihatinan kerajaan kerana membantu pengamal media yang berdepan masalah kesihatan.
"Apabila tuhan bagi sakit, kita reda sajalah. Terima kasih kepada HAWANA (Tabung Kasih@HAWANA) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta pejabat Perdana Menteri jemput berbuka dan jumpa kawan lama," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Muhammad Husni Othman turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang sudi memberikan bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada ibunya yang merupakan bekas peneraju RTM.
Katanya, sumbangan kepada ibunya, Mariamah Tijo itu ialah satu penghargaan besar atas khidmatnya sebagai penyampai radio di RTM selama ini.
"Sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat membantu dan ia menghargai jasa ibu dalam industri media ... saya ucap ribuan terima kasih," katanya.
Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.
Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi (ketika itu Kementerian Komunikasi dan Digital) dan dilaksanakan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.
Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj antara yang hadir pada majlis berbuka puasa itu.
- BERNAMA
#Tabung Kasih #Hawana #kebajikan pengamal media #Hari Wartawan Nasional
;