Tabung Haji rugi RM1.961 juta angkara scam - Rais
Sinar Harian
Januari 25, 2023 18:35 MYT
Januari 25, 2023 18:35 MYT
SHAH ALAM: Lembaga Tabung Haji (TH) mengalami kerugian sebanyak RM1.961 juta akibat aktiviti penipuan dalam talian (scam).
Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, TH harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu kehilangan wang pendeposit yang berpunca daripada aktiviti penipuan dalam talian (scam).
“Hasil mesyuarat bersama antara Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan TH telah memutuskan bahawa kehilangan wang semasa proses dan interaksi pengeluaran wang (debit) dalam akaun TH adalah tertakluk kepada faktor kesiagaan bank berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, aspek kompensasi kepada mangsa penipuan hendaklah diuruskan melalui polisi insuran perbankan itu sendiri.
“Jawatankuasa memutuskan adalah menjadi tanggungjawab utama bank berkenaan agar pendeposit tidak hilang keyakinan kepada mereka,” katanya.
Tambah Rais, jawatankuasa itu turut mencadangkan agar tanggungjawab harus diambil oleh pihak bank yang menjadi perantara dalam urusan TH kerana urusan pengeluaran wang simpanan menggunakan perbankan konvensional dan bukannya melalui TH itu sendiri.
“Jawatankuasa turut mencadangkan agar pihak TH memberi peluang kepada pendeposit TH untuk membuat pilihan sama ada urusan simpanan dan pengeluaran dibuat secara manual atau secara dalam talian,” katanya lagi.
Rais berkata, TH juga perlu memperhebatkan lagi hebahan media kempen kesedaran penipuan dalam talian kepada masyarakat.
Katanya, kempen tersebut boleh dihebahkan menerusi media sosial, cetak dan penyiaran.
“TH dan bank perantara perlu meningkatkan aspek keselamatan dari segi urusan perbankan dalam talian. Dicadangkan juga agar syarat-syarat pengeluaran wang secara dalam talian diperketatkan sama seperti agensi lain seperti yang dibuat oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam urusan jual beli Amanah Saham Bumiputera," katanya.
Kata Rais lagi, TH juga perlu menyediakan laporan atau penyata ganti rugi yang diberikan kepada mangsa penipuan khususnya berkaitan dengan TH agar masalah tersebut dapat dipantau dari semasa ke semasa.
“Keputusan mesyuarat jawatankuasa ini akan diusulkan dalam sidang Dewan Negara akan datang agar isu dan permasalahan yang dihadapi rakyat mendapat perhatian yang sewajarnya,” ujarnya. -- Sinar Harian