Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka buru peminjam ingkar
Raffi Bachik
Januari 9, 2014 14:36 MYT
Januari 9, 2014 14:36 MYT
Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) memburu 403 peminjam yang masih ingkar untuk menjelaskan pembayaran balik pinjaman mereka melibatkan jumlah pinjaman sehingga hampir RM5.5 juta.
Pengurus besar TAPEM, Nordin Ali berkata semua peminjam berkenaan sudah diberikan notis pemberitahuan dan pihaknya tidak teragak-agak mengheret mereka ke mahkamah.
"Kita jemput peminjam ini datang dalam masa tujuh hari ke pejabat kita untuk berbincang mengenai pembayaran semula.
"Sekiranya tidak ada respons, kita akan hantar notis termasuk kepada penjamin dan kita akan mulakan tindakan undang-undang di mahkamah," katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di sini.
Jelas Nordin, TAPEM juga menawarkan potongan 20 peratus kepada semua peminjam yang membuat bayaran penuh sebelum 31 Julai ini.
Sejak ditubuhkan pada 2000, TAPEM sudah memberi pinjaman kepada 5,788 pelajar di institusi pengajian tinggi dengan peruntukan sebanyak lebih RM60 juta.