Tablet sumbangan Ebit Lew 'talian hayat' untuk tiga pelajar autisme
Bernama
Januari 23, 2021 07:43 MYT
Januari 23, 2021 07:43 MYT
KUALA LUMPUR: Rasa sedih seorang ibu tunggal apabila komputer terpakai yang dibelinya secara dalam talian tahun lepas untuk tiga anaknya yang menghidap autisme dan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) rosak, terubat apabila menerima tablet sumbangan pendakwah terkenal Ebit Lew, baru-baru ini.
Haslinah Hassan, 40, yang tinggal di perumahan awam Jalan Hang Tuah di sini ketika dihubungi berkata anak sulungnya Muhammad Nur Izzat Ismail, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Yaacob Latif di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) begitu kecewa dan hampir hilang semangat untuk belajar selepas komputer yang dibeli Oktober lepas rosak.
Tiga lagi anak Haslinah ialah Putri Nur Alya Batrisyia, sembilan tahun, Putra Nur Irfan Basir, tujuh tahun dan Putra Nur Izzuddin Yusuf, tiga tahun. Anak kedua dan ketiganya mengikuti program PPKI di Sekolah Kebangsaan Yaacob Latif manakala anak bongsunya dihantar ke pusat pemulihan dalam komuniti San Peng.
"Tiga anak saya yang bersekolah begitu meminati bidang teknologi dan Internet. Selepas desktop rosak mereka hanya belajar menggunakan telefon bimbit saya dan saya akan ambil kerja sekolah masing-masing dari sekolah mereka.
"Pada Khamis saya lihat hantaran di akaun Facebook Ebit Lew bahawa dia membeli 100 buah tablet untuk dihadiahkan kepada pelajar yang memerlukan untuk kelas dalam talian. Sekitar 6 petang Khamis saya menulis di ruangan komen hantaran Lew. Saya katakan tentang keadaan anak saya dan tiga daripada mereka bersekolah. Saya juga memohon agar boleh dapat satu tablet," katanya.
Haslinah berkata 45 minit selepas menulis di ruangan komen pada hantaran tersebut, beliau dihubungi pasukan Lew untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dirinya dan pada kira-kira 9.30 malam hari yang sama petugas Lew menghantar tablet itu ke rumahnya.
Lebih menggembirakannya seorang hamba Allah turut menyumbangkan sebuah komputer riba pada Jumaat dan Haslinah menyifatkan tablet sumbangan Ebit Lew dan komputer riba itu umpama 'talian hayat' kepada tiga anaknya untuk bersemangat belajar dengan mengikuti PdPR memandangkan beliau tidak mampu untuk mendapatkan peranti elektronik baharu untuk mereka.
Ini kerana Haslinah yang menjadi ibu tunggal sejak 2019, merupakan orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai masalah pembelajaran dan turut menghidap ADHD. Keadaan keempat-empat anaknya menyebabkan beliau tidak dapat bekerja dan pendapatan beliau kini hanyalah elaun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan, bantuan Baitulmal dan sumbangan orang ramai.
"Saya terharu dengan sumbangan Ustaz Ebit Lew dan akan pastikan peranti ini digunakan dengan sebaik mungkin," katanya.
Menurut Haslinah, anak sulungnya dan anak keduanya kini masing-masing boleh menggunakan tablet dan komputer riba itu untuk mengikuti PdPR manakala anak ketiganya boleh menggunakan telefon bimbit beliau bagi tujuan itu.
Sementara itu, hantaran Lew mengenai 100 tablet yang dibelinya untuk diberi kepada pelajar yang memerlukan dikongsi lebih 22,000 pengguna Facebook setakat petang ini. Lew dalam posting Facebook seterusnya memberitahu dalam masa separuh hari beliau menerima 43,000 pesanan daripada mereka yang memerlukan tablet untuk anak masing-masing mengikuti PdPR.
"Ramai juga yang OKU, tiada pekerjaan, anak yatim piatu dan bergaji kecil. Maafkan saya ye tidak dapat membantu ramai lagi," kata Lew dalam hantaran itu.
-- BERNAMA
#tablet
#Ebit Lew
#pelajar autisme
#talian hayat
#Haslinah Hassan
#Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah
#PdPR
#Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif
#ADHD
#OKU