Tabika KEMAS perlu jadi pilihan utama ibu bapa - Ismail Sabri
Dania Zainuddin
Januari 22, 2016 19:23 MYT
Januari 22, 2016 19:23 MYT
Taman Bimbingan Kanak-kanak, Tabika KEMAS bakal menyaksikan transformasi serta penambahbaikan khusus dalam aspek infrastruktur serta silabus pendidikan pra-sekolah.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara program yang akan diperkenalkan adalah Pendidikan Islam, patriotisme dan program keyakinan diri.
"Kita akan adakan beberapa perubahan dan transfromasi dari segi silabus di Tabika yang melibatkan pendidikan islam, pendidikan dari segi patriotisme, dan juga program yang tingkatkan keyakinan di kalangan anak-anak atau pelajar tabika kemas ini," kata Ismail selepas program turun padang kementeriannya ke program Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Tabika KEMAS Kg. Batu 16, Rawang pada Jumaat.
Jelas Ismail, kali terakhir program pendidikan awal KEMAS dikemaskini adalah pada tahun 2009 yang hanya menggunakan kurikulum standard biasa.
Pada masa sama, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebagai penggendali Tabika Kemas memperuntukkan RM13 juta bagi membaikpulih infrastruktur bangunan sedia ada bagi tahun ini.
Sementara itu, Ismail sabri berkata, kerajaan mengambil inisiatif bagi menjadikan Tabika KEMAS sebagai Tabika Berprestasi Tinggi dengan memberi nilai tambah kepada Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan sedia ada.
Selain itu, katanya, kerajaan memperuntukkan makanan tambahan berjumlah RM99 juta dengan kadar RM2.05 seorang sehari bagi pelajar tabika serta RM3.00 kepada kanak-kanak taska di semenanjung untuk tahun ini.
Pada majlis itu, Ismail turut melancarkan hashtag #imkemas yang boleh diikuti dan mengetahui aktiviti KEMAS di seluruh negara.