T. Mohan, Aknan dilantik semula sebagai Senator
Umavathi Ramayah
Disember 1, 2020 12:47 MYT
Disember 1, 2020 12:47 MYT
KUALA LUMPUR: Dua ahli Dewan Negara, Datuk T. Mohan dan Aknan a/l Ehtok hari ini mengangkat sumpah sebagai Senator untuk tempoh tiga tahun.
Upacara itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim kira-kira pukul 11 pagi, Selasa.
Kedua-dua Naib Presiden MIC dan Presiden Persatuan Siam Malaysia itu dilantik semula bagi penggal kedua sehingga tahun 2023.
Mohan ketika ditemui pemberita selepas upacara itu berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran atas perlantikan semula itu.
"Menerusi pelantikan ini, saya percaya saya akan buat lebih lagi kepada masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berkata, akan terus memberi tumpuan khas kepada soal keselamatan dan kesihatan terutamanya ketika negara dilanda COVID-19.
Sementara itu, Aknan berkata beliau akan terus memperjuangkan nasib golongan keturunan Siam di Malaysia.
Menurutnya, masyarakat Siam masih lagi ketinggalan dalam pelbagai bidang.
"Saya mahu kerajaan memberi perhatian kepada masyarakat Siam untuk membangun bersama-sama rakyat Malaysia yang lain dari segi bantuan pendidikan, modal, keusahawaan dan sebagainya.
"Bantuan-bantuan ini akan membantu mereka untuk melangkah ke hadapan sepantas masyarakat yang lain," ujarnya.