T'ganu beri RM2,000 kepada ibu, bapa tunggal kahwin
Astro Awani
Disember 13, 2012 07:26 MYT
Disember 13, 2012 07:26 MYT
Bermula Januari depan, kerajaan Negeri Terengganu akan memberi bantuan RM2,000 kepada ibu dan bapa tunggal yang berkahwin semula.
Bantuan julung kali dilakukan itu bertujuan menggalakkan golongan berkenaan mendirikan rumah tangga semula selepas melalui fasa penceraian.
Pengerusi jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri Yahya Khatib Mohamad berkata peruntukan berkenaan sekaligus meringankan beban golongan itu untuk meneruskan kehidupan baru bersama pasangan mereka.
Katanya, sehingga kini terdapat seramai 21,838 ibu tunggal dan 2,890 bapa tunggal di negeri ini.
Selain itu, sebanyak RM20 juta melalui Belanjawan Terengganu 2013 di bawah Program Ibu Tunggal akan turut diagih kepada golongan bapa tunggal.
Pada masa sama pelbagai program turut disediakan termasuk bengkel, kursus kemahiran, masakan dan jahitan bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka.