Syurga di tapak kaki ibu: Hajat Mahadzir Lokman sebelum bertemu Ilahi

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 4, 2018 16:46 MYT
Ida dalam nada sebak berkata, Mahadzir merupakan anak yang paling mengambil berat dan menjaga ibu mereka. - Foto Facebook Datuk Mahadzir Lokman
'Syurga di telapak kaki ibu.' Itu ungkapan adik Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman, Ida Lokman apabila media dimaklumkan jenazah dikebumikan diasamping kubur kedua ibu bapa mereka.
Ida dalam nada sebak berkata, Mahadzir merupakan anak yang paling mengambil berat dan menjaga ibu mereka, Allahyarham Datin Nina Khadijah Abdul Rahman sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Jelasnya, keluarga memperkenan permintaan terakhir Allahyarham Mahadzir untuk dikebumikan bersebelahan ibunya.
"Sebelum ibu kami meninggal dunia, dialah yang banyak menjaganya dengan baik sekali. Kalau boleh, dia juga mahu membawa ibu sekali ke semua tempat (majlis) yang dihadirinya.
"Orang kata syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Dia sudahpun menjalankan tanggungjawab sebagai anak dengan baik sekali dan saya rasa semua orang tahu.
"Kami cuba tunaikan permintaannya yang mahu disemadikan bersebelahan dengan kubur ibu. Alhamdulillah, Allah mempermudahkannya," katanya ketika ditemui media di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini hari ini.
Jenazah Allahyarham Mahadzir disemadikan di samping kubur ibunya, Nina Khadijah dan bapanya, Datuk Lokman Musa pukul 10.10 pagi tadi.
Jenazah sebelum itu dibawa ke Masjid Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya pukul 9.30 pagi dari kediamannya di Seksyen 16, Petaling Jaya untuk upacara solat jenazah.
Allahyarham yang meninggal dunia di Kota Kinabalu awal pagi semalam tiba di kediamannya itu pukul 4.30 pagi menerusi penerbangan MAS yang berlepas 11.05 malam tadi.
Sebelum ini, Allahyarham Mahadzir, 61, dilaporkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di biliknya, di sebuah hotel di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, oleh sepasukan anggota polis yang menerima maklumat.
#hajat terakhir Mahadzir Lokman #Keluarga Mahadzir Lokman #syurga di tapak kaki ibu
;