Syukuri nikmat yang ada di sebalik cabaran - Muhyiddin

Nickyson Nyambar
Mei 13, 2021 19:49 MYT
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkesempatan melaksanakan solat sunat Aidilfitri di rumah bersama ahli keluarga terdekat. - Gambar/ Facebook Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat untuk terus bersyukur di atas segala nikmat yang ada, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran ketika tempoh pandemik ini.
Kata beliau, sambutan Aidilfitri kali ini sememangnya berbeza kerana penularan COVID-19 yang telah membantutkan segala kelaziman.
"Tahun ini, sekali lagi kita terpaksa menyambut Aidilfitri di rumah sendiri seperti tahun lalu. Sudah pasti saya seperti ibu bapa yang lain merasa sedih pada pagi Syawal ini kerana tidak dapat bersama anak-anak, menantu serta cucu kerana mereka dari lain daerah walaupun berada di Kuala Lumpur.
"Sedih dan sayu juga apabila takbir raya tahun ini hanya disahut jemaah yang terdiri daripada ahli keluarga, bukan seperti di masjid atau surau seperti mana sambutan sebelum wabak ini melanda negara.
"Saya akui memang amat sukar untuk menahan perasaan ketika bertakbir dengan hanya bertemankan beberapa makmum," luah beliau dalam perkongsian di laman Facebooknya pada Khamis.
Sumber Facebook ts.muhyiddin
Beliau turut bersyukur kerana rakyat di Malaysia masih berkesempatan meraikan Aidilfitri dengan tenang tanpa pergolakan.
"Masih boleh bersama keluarga terdekat dan masih boleh berhubung dengan mereka yang jauh menerusi telefon.
"Sebagaimana orang lain, saya juga menggunakan teknologi seperti Zoom untuk berhubung, menatap wajah dan berkomunikasi dengan ahli keluarga yang lain.
"Melepas juga rindu biarpun tidak dapat bersama menyambut Aidilfitri yang mulia ini," kata beliau.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyeru masyarakat untuk mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin yang diuji dengan ujian besar ketika ini.
"Saya terkenangkan nasib rakyat Palestin yang pastinya tidak dapat meraikan Aidilfitri, dibedil kediaman mereka oleh jet-jet dan roket-roket rejim Israel. Sungguh besar ujian yang terpaksa mereka tempuhi tatkala umat Islam yang lain sibuk merayakan Aidilfitri," tambahnya.
#Perdana Menteri #Tan Sri Muhyiddin Yassin #COVID-19 #Palestin #Aidilfitri 2021 #Lebaran AWANI #Hari Raya Aidilfitri 2021 #Syawal 2021
;