Syukuri nikmat keamanan, kedamaian yang dikecapi - Agong

Bernama
September 9, 2017 16:46 MYT
Sultan Muhammad V berkenan berangkat meninggalkan Istiadat Mengadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2017 sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. --fotoBERNAMA
Rakyat Malaysia perlu mensyukuri nikmat keamanan dan kedamaian yang dikecapi dalam apa jua situasi, suasana dan keadaan, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Seri Paduka bertitah baginda yakin rakyat sudah banyak mempelajari dan mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku di beberapa negara di dunia, terutama di Timur Tengah, yang sedang berhadapan dengan peperangan bersenjata, bermandikan darah, berhadapan dengan pergolakan, kekacauan yang seolah-olah tiada noktah penghujung.
"Lantaran itu, beta menyeru kepada seluruh rakyat beta yang dikasihi supaya sentiasa menghargai usaha-usaha menjaga keamanan dan keselamatan negara, jangan pandang remeh dan mengambil mudah.
"Hargailah perjuangan dan pengorbanan, keringat dan air mata yang dicurahkan oleh anggota pasukan keselamatan yang bersabung nyawa, mengetepikan kerehatan demi menjamin keselamatan dan menjaga kerukunan dan kedamaian negara," titah baginda pada majlis sambutan Hari Keputeraan baginda, hari ini.
Sultan Muhammad V bertitah rakyat juga harus berwaspada dengan perkembangan negatif akhir-akhir ini, dengan munculnya ancaman kumpulan pengganas yang kian serius dan membimbangkan di seluruh dunia, dan turut tidak terkecuali, negara ini.
"Beta yakin dengan kemampuan pihak Polis Diraja Malaysia dan agensi-agensi lain dengan kerjasama dan sokongan rakyat seluruhnya, pembanterasan ke atas anasir-anasir dan sel-sel ekstrem itu dapat diatasi," titah baginda.
Seri Paduka bertitah baginda optimis dan menaruh harapan tinggi terhadap rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik, yang menjadi aset yang paling berharga, akan terus melangsungkan agenda perpaduan dan kerukunan hidup.
"Beta menyeru kepada seluruh rakyat beta yang dikasihi terus memelihara dan menyuburkan perasaan dan sikap kemuafakatan yang penuh bermakna, yang sejak sekian lama dipupuk dan dibaja," titah baginda.
Seri Paduka bertitah baginda berharap dan mendoakan agar ekonomi negara dapat mengekalkan momentum pertumbuhan dengan lebih kukuh lagi.
"Sokongan rakyat seluruhnya sangat penting bagi membolehkan agenda ekonomi yang lebih cemerlang.
"Hentikanlah tindakan negatif yang merugikan negara, dengan membuat telahan dan andaian yang tidak bertanggungjawab seolah-olah ingin melihat ekonomi negara runtuh dan negara jadi bankrap," titah baginda.
Seri Paduka turut menzahirkan rasa optimis baginda terhadap peranan kerajaan.
"Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran semasa, beta percaya dengan mandat, sokongan dan dukungan semua rakyat kerajaan beta akan terus cekal dan tabah mengatur strategi dan agenda negara bagi membolehkan negara dan rakyat Malaysia, terus dihormati dan disegani di persada antarabangsa," titah baginda.
Yang di-Pertuan Agong juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak diulik dan dibuai mimpi kelekaan dengan kemajuan negara yang dicapai.
"Jangan dijadikan alasan untuk kita berpeluk tubuh dan tidak berfikir bagi meningkatkan kejayaan dan kecemerlangan. Banyak lagi ruang untuk kerajaan dan rakyat melakukan usaha-usaha penambahbaikan dari semasa ke semasa," titah baginda.
-- BERNAMA
#rakyat Malaysia #Sultan Muhammad V #Yang di-Pertuan Agong
;