Syukuri nikmat keamanan dan kestabilan politik - Najib
Bernama
Julai 14, 2013 09:10 MYT
Julai 14, 2013 09:10 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keamanan dan kestabilan politik yang dinikmati Malaysia sejak dahulu hingga kini perlu disyukuri setiap umat Islam kerana membolehkan mereka melakukan pelbagai amal ibadat terutama pada bulan Ramadan.
Perdana menteri berkata kedatangan Ramadan setiap tahun amat dinantikan umat Islam dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran dalam mengejar sebanyak mungkin ganjaran daripada Allah S.W.T.
"Setiap umat Islam di negara ini menerima kedatangan Ramadan dengan penuh kegembiraan sebab ia penuh dengan keberkatan.
"Kita perlu bersyukur dan bertuah kerana dapat menyambut Ramadan dengan penuh keamanan dan menjalani ibadah puasa dalam ketenangan dan dapat melakukan pelbagai amalan sunat mengikut kemampuan," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Masjid Chini 2 di sini Sabtu.
Najib berkata keamanan dan kestabilan yang dimiliki Malaysia tidak akan ditemui di kebanyakan negara Islam lain termasuk negara-negara Timur Tengah.
Beliau berkata di Mesir dan Syria contohnya, pergolakan politik yang melanda negara-negara itu semestinya akan menyebabkan umat Islam menjalani ibadah puasa dan ibadah lain dengan penuh cabaran.
"Di Syria, berjuta-juta umat Islam menjadi pelarian dan terpaksa tinggal di dalam khemah dan masa depan mereka tidak menentu.
"Di Iraq, Afghanistan dan Palestin pula rakyatnya berada dalam keadaan tidak begitu tenteram dan keselamatan tidak terjamin, sedangkan di Malaysia kita bebas mencari rezeki dan dapat melihat masa depan dengan penuh keyakinan," katanya.
Najib yang baru pulang dari melakukan lawatan kerja di Tanzania baru-baru ini turut berkongsi keadaan ekonomi di negara Afrika itu dan jelasnya terlalu banyak jurang perbezaan pendapatan ekonominya berbanding Malaysia.
"Di sana terdapat ramai umat Islam, namun pencapaian dan pendapatan mereka tidak sama dengan di sini, di sana pendapatan per kapita hanyalah AS$1,500 sedangkan kita AS$10,000 per kapita.
"Kenapa tahap kejayaan mereka tidak sama dan jauh ketinggalan berbanding Malaysia sedangkan mereka kaya dengan minyak dan tanah yang subur...ini adalah kerana kepimpinan politik mereka yang tidak sama seperti yang kita miliki di sini," katanya.
Pada majlis itu Najib turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 126 warga emas sekitar Felda Chini sebelum berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib berjemaah.