"Syukur kesemua pelajar selamat dan stabil" - Pengetua

Adie Sufian Zulkefli
September 24, 2018 16:33 MYT
Ketika kejadian yang berlaku sekitar pukul 7.05 pagi itu, kebanyakan pelajar berada di pekarangan sekolah dan kelas.
“Saya bersukur kesemua pelajar selamat dan hanya mengalami cedera ringan dan dalam keadaan stabil,". Demikian luahan Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa, Wong Ghee Hong sebaik sahaja insiden ribut yang menerbangkan atap dan meruntuhkan siling bangunan lalu mencederakan lima pelajar pagi ini.
Menurut Ghee Hong, kesemua pelajar yang cedera itu telah dibenarkan pulang tengah hari tadi selepas menerima rawatan di Hopsital Sultanah Bahiyah (HSB).
Ujarnya, ketika kejadian yang berlaku sekitar pukul 7.05 pagi itu, kebanyakan pelajar berada di pekarangan sekolah dan kelas.
"Ada di antara mereka sudah masuk ke kelas ada yang berada di kaki lima dan kantin. Ekoran kejadian ini, hampir kesemua bahagian bumbung di enam buah bangunan di sekolah itu terjejas akibat diterbangkan angin," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.
Tambah Ghee Hong, pihak pengurusan sekolah masing menunggu keputusan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah sama ada sesi persekolahan akan diteruskan atau sebaliknya.
"Sekarang kita tengah kenal pasti daripada kejuruteraan elektrik terutama bahagian bangunan mana elektrik boleh guna ataupun selamat untuk digunakan. Apa-apa pun keselamatan pelajar akan menjadi keutamaan," katanya.
Tambah Ghee Hong, pihaknya masih belum mengenal pasti jumlah kerugian namun dianggarkan kos untuk membaik pulih bangunan tersebut mencecah antara RM40,000 hingga RM80,000.
Sekolah itu mempunyai 2,100 pelajar dan 192 guru, namun hanya 1,000 pelajar bersekolah di sesi pagi manakala selebihnya sesi petang.
#cedera #guru #Hopsital Sultanah Bahiyah #Kedah #keselamatan #pelajar #pendidikan #Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa #sekolah #Wong Ghee Hong
;