'Syukur, Akif akhirnya dapat dipindahkan ke HSA' - Ibu mangsa

Sinar Harian
Oktober 27, 2024 05:00 MYT
Tangkap layar video perkongsian detik Akif dibawa menaiki ambulan dari NUH, Singapura ke HSA Johor Bahru pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: "Terima kasih rakyat Malaysia dan Singapura yang menderma serta berdoa untuk Akif."
Demikian luahan ibu mangsa kemalangan, Akif-Zarr Ukasyah, 28, yang terbabit dalam kemalangan di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE), Singapura pada 17 Oktober lalu dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Nasional (NUH) Singapura.
Ku Amazon Tuan Yusof, 56, berkata, dia dan keluarga bersyukur apabila hasratnya untuk membawa anak keduanya itu dari Hospital NUH Singapura ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru tercapai.
Menurutnya, dia amat terharu kerana urusan memindahkan Akif sebelum ini tergendala kerana perlu membayar sekurang-kurangnya 50 peratus kos rawatan di NUH sebelum dipindahkan ke HSA, namun dapat diselesaikan dengan kutipan derma orang ramai.
"Bil perubatannya cecah kira-kira S$110,537.60 (S$1=RM3.29) bersamaan hampir RM364,466. Alhamdulillah dengan sumbangan orang ramai, 50 peratus daripada bil perubatan itu dapat dibayar.
"Baki bil perubatan selebihnya difahamkan akan dibayar syarikat Akif bekerja di Singapura selepas perbincangan dilakukan bersama pihak kedutaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di sana," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Ku Amazon berkata, ramai yang tampil membantu termasuk NGO sepanjang anaknya menerima rawatan dan urusan memindahkan anaknya menaiki ambulans ke HSA pada petang, Jumaat.
Beliau yang bekerja sebagai guru di sebuah sekolah negeri di Kelantan berharap kesihatan anaknya akan bertambah baik di HSA.
"Saya mohon jasa orang ramai agar mendoakan semoga anak kedua daripada enam adik beradik ini cepat sembuh dan tabah menghadapi proses penyembuhan yang panjang.
"Kami berharap Akif dapat dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Apa-apa pun, ia bergantung kepada nasihat doktor dan keadaan kesihatan Akif," katanya.
Pada Rabu, media melaporkan keluarga merayu bantuan membiayai kos rawatan Akif di ICU, NUH Singapura.
Ia selepas Akif yang dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru dari tempat kerja telah digilis sebuah motosikal berkuasa tinggi setelah beliau terjatuh dari motosikalnya kerana cuba mengelak daripada kemalangan lain.
Akif yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat makanan dan minuman (F&B) di Singapura, baharu mendirikan rumah tangga tiga minggu lalu, mengalami kecederaan serius tulang belakang, patah tangan kiri selain pendarahan dalaman akibat kecederaan paru-paru. - Sinar Harian
#Singapura #pengantin baharu kemalangan #Hospital Sultanah Aminah #derma
;