Syor letak SPRM di bawah Parlimen dibangkit di Dewan Rakyat hari ini
Bernama
Mac 28, 2023 08:15 MYT
Mac 28, 2023 08:15 MYT
KUALA LUMPUR: Persoalan sama ada kerajaan bercadang untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen antara yang dibangkitkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) meminta Perdana Menteri menyatakan kesediaan kerajaan melaksanakan syor daripada Transparency International Malaysia (TI-M) supaya SPRM diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen dan bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Soalan itu dikemukakan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) dengan Mas Ermieyati berkata tindakan itu bagi memastikan proses semak dan imbang agensi itu lebih bebas dan telus sekali gus meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap SPRM.
Usai sesi itu, mesyuarat diteruskan dengan sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan dengan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) meminta Perdana Menteri menyatakan strategi dan solusi kementerian untuk menangani kos haji dan umrah yang melonjak kebelakangan ini.
Turut dijangka menjadi tumpuan adalah pertanyaan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan tindakan yang telah diambil untuk mewujudkan lebih banyak persaingan dalam industri yang dikaitkan dengan kartel atau monopoli seperti simen, ayam, telur, gula dan lain-lain.
Sementara itu, Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri mengenai jumlah yang dibelanjakan untuk operasi penyelamatan banjir, bantuan kewangan kepada mangsa serta perbelanjaan lain secara terperinci ketika bencana itu berlaku bagi 2022.
Selesai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa.
-- BERNAMA