Syor kadar gaji minimum baharu dibentang kepada Kabinet bulan depan

Bernama
Ogos 17, 2024 16:15 MYT
Steven berkata, KESUMA telah menerima laporan dan syor kadar gaji minimum baharu daripada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dipengerusikan Tan Sri Zainal Rahim Seman.
PUTRAJAYA: Syor mengenai kadar gaji minimum yang baharu dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet bulan depan, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah menerima laporan dan syor kadar gaji minimum baharu daripada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dipengerusikan Tan Sri Zainal Rahim Seman.
Ketika ini katanya, KESUMA telah mengedarkan kertas Kabinet kepada kementerian berkaitan untuk diberi ulasan berhubung kadar gaji baharu itu.
"Kita akan bentang kertas Kabinet untuk pertimbangan dan keputusan di peringkat Kabinet tentang kadar gaji minimum baharu.
" ... pembentangan (dalam mesyuarat Jemaah Menteri) mungkin dilaksanakan dalam bulan September," katanya pada sidang media selepas Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) ke-27 di sini hari ini.
Sebelum ini, Sim dilapor berkata kerajaan akan mengkaji semula gaji minimum yang kali terakhir disemak pada Mei 2022 dengan kenaikan daripada RM1,200 kepada RM1,500.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sektor swasta terutama syarikat yang mencatatkan keuntungan tinggi, meneliti semula skim gaji bagi memberikan imbuhan yang lebih munasabah kepada pekerja-pekerja.
Anwar berkata reformasi gaji perkhidmatan awam ialah mesej kepada syarikat swasta supaya dapat menaikkan gaji pekerja agar tekanan kos hidup dapat dikurangkan.
-- BERNAMA
#Steven Sim #gaji minimum #KESUMA #Kerajaan Madani