Syed Zainal Abidin diumum penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 1444 Hijrah
Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 9, 2022 13:32 MYT
Oktober 9, 2022 13:32 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 Hijrah Bersamaan 2022 Masihi yang diadakan di WTCKL.
Sambutan yang berlangsung penuh gilang gemilang itu turut menyaksikan keberangkatan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selain Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.
Anugerah diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu-individu yang layak dan telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara.
Penerima anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang telah disumbangkan untuk pembangunan insan yang memberi impak positif ke atas kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara.
Ia diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maulidur Rasul yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad secara teliti.
Pada sambutan kali ini Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIWP, Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir diangkat sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 1444 Hijrah/2022 Masehi.
Beliau yang ditemui selepas majlis tersebut merasa amat terharu dengan penganugerahan yang diberikan selain mampu menjadikanya sebagai pembakar semangat untuk terus berbakti kepada agama, negara dan masyarakat.
"Ini bukan anugerah yang biasa. Anugerah Perdana Maulidur Rasul. Jadi kita nak bayangkan mana kita dan sikap dan akhlak Rasulullah SAW ini saya memang agak tercabar.
"Tapi saya bersyukur kerana dengan adanya anugerah ini mungkin memberi semangat kepada saya untuk menjalankan kebaikan dan saya ucapkan ribuan terima kasihlah khusus kepada ayah dan ibu dan juga keluarga serta sahabat-sahabat yang memberi dorongan dan sokongan. Tanpa sokongan mereka ini tak mungkin saya akan mendapat anugerah ini," katanya yang ditemui media.
Turut menerima anugerah Pengarah Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Azizan Baharudin; Penerbit Eksekutif (Pengisian Kandungan Islam), Media Prima, Ahmad Noor Sulaiman; Pengerusi Yayasan Zikay, Datuk Mohd Khay Ibrahim dan Penyanyi, Syazrina Azman (Mizz Nina).
Turut menerima anugerah tokoh Maulidur Rasul, pesara guru, Chee Hoi Lan dan Pengarah Urusan Hushim Motivational & Counselling Consultancy, Hushim Salleh.
#ismail sabri yaakob
#Raja Permaisuri Agong
#Yang di-Pertuan Agong
#Perdana Menteri
#Maulidur Rasul
#Syed Zainal Abidin