Syed Saddiq tamatkan larian solo dari Muar ke Parlimen
Umavathi Ramayah
Julai 1, 2024 10:50 MYT
Julai 1, 2024 10:50 MYT
KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpul kira-kira RM160,000, melepasi sasaran yang diletakkan menerusi misi 'Langkah Muar', sejak Jumaat lalu.
Ahli Parlimen Muar itu tiba di Parlimen kira-kira pukul 9.30 pagi ini selepas menamatkan misi larian solonya sejauh 200 kilometer.
Beliau membuat pecutan terakhir misi solonya dari Stesen Transit Aliran Massa (MRT) KLCC pada pukul 8.45 pagi bagi menamatkan larian itu.
"Ini merupakan gerakan untuk menuntut keadilan bagi peruntukan kawasan Parlimen pembangkang yang dinafikan sekian lama.
"Ini bukan satu desakan tetapi berdasarkan kepada prinsip keadilan, tidak agama, bangsa atau sokongan politik.
"Bantuan peruntukan perlu disalurkan kepada semua tidak kira kawasan pembangkang atau sebaliknya," katanya selepas menamatkan misi Langkah Muar di luar Parlimen di sini hari ini.
Syed Saddiq sebelum ini dilaporkan berkata, larian itu sebagai salah satu cara untuk menghantar mesej kepada kerajaan untuk menepati janji mereka sebelum ini.
Objektif utama larian itu adalah bagi menuntut peruntukan Ahli Parlimen RM4 juta setahun atau RM20 juta satu penggal.
Selain itu, larian berkenaan juga bagi mengutip dana RM100,000 bagi Pusat Khidmat Muar yang diperlukan supaya ia dapat kekal beroperasi, sekali gus membantu rakyat yang memerlukan.