Syed Saddiq mahu kerjasama KJ dalam pembangunan belia

Wan Syamsul Amly
Julai 3, 2018 14:34 MYT
SYED SADDIQ: Saya hendak hantar mesej jelas, walaupun kita berbeza pendapat, kita bersama angkat martabat anak muda.
Kerjasama dan perbincangan akan terus dibuat bersama bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin demi perkembangan positif dalam usaha pembangunan belia dan sukan di negara ini.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perbezaan pegangan politik bukan penghalang untuk usaha murni pembangunan belia di negara ini.
Jelasnya, selain Khairy kerjasama juga akan dibuat bersama bekas-bekas Menteri Belia dan Sukan yang lain.
"Saya hendak hantar mesej jelas, walaupun kita berbeza pendapat, kita bersama angkat martabat anak muda.
"Pada pada masa sama, kita menghargai jasa bakti pimpinan terdahulu yang menyumbang pembangunan modal insan belia, termasuk saya dari felo perdana, dan program ini harus diteruskan," katanya semasa sidang media selepas sesi menandatangani nota serah tugas Menteri Belia dan Sukan di sini, hari ini.
Kata Syed Saddiq, lebih banyak sesi akan dibuat bersama anak muda walaupun berlainan parti demi kelangsungan belia di negara ini.
Dalam perkembangan berasingan, Syed Saddiq turut menolak budaya balas dendam terhadap pentadbiran Barisan Nasional (BN) dengan hanya fokus mencari kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam kementeriannya.
Tegasnya, prestasinya perlu diukur dengan betul dan bukannya dikaitkan dengan pendedahan skandal-skandal yang lepas.
Beliau menjawab pertanyaan mengenai sindiket penyelewengan dana kerajaan lebih RM100 juta melibatkan pegawai KBS akan dibuka dan disiasat semula.
#Barisan Nasional #KBS #Khairy Jamaluddin #Syed Saddiq
;