Syed Saddiq lari 'live' 200km mulai esok, kumpul dana RM100,000

Hasimi Muhamad
Jun 27, 2024 17:25 MYT
Syed Saddiq berkata 'Langkah Muar' itu akan bermula dari Jambatan Muar pada jam 6.30 pagi esok dengan sasaran untuk mengumpul dana sebanyak RM100,000. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebagai tanda protes terhadap peruntukan pembangkang, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil inisiatif untuk mengumpul dana dengan melakukan larian sejauh 200 kilometer (km) dari Muar ke Parlimen.

Ringkasan AI
  • Inisiatif Larian Langkah Muar: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berlari sejauh 200 kilometer dari Muar ke Parlimen sebagai tanda protes terhadap peruntukan yang tidak mencukupi bagi Parlimen pembangkang. Larian ini bertujuan mengumpul dana sebanyak RM100,000 untuk pusat khidmat rakyat Parlimen Muar, gaji staf, pembelian bakul makanan, dan tablet atau laptop. Dana juga akan membantu golongan veteran dengan keperluan seperti lampin pakai buang atau susu formula.
  • Ketelusan dan Sasaran Larian: Larian ini akan disiarkan secara langsung di sosial media Syed Saddiq. Setiap hari, dia berusaha menamatkan satu ultramarathon melebihi 52km, dengan sasaran sekurang-kurangnya 65km bermula pagi esok.
  • Rundingan Peruntukan Pembangkang: Syed Saddiq telah melakukan tiga proses rundingan, tetapi belum menerima maklum balas. Beliau menyokong kestabilan politik, tetapi juga menekankan peranan pembangkang dalam semak dan imbang.

Menurut Ahli Parlimen Muar itu, 'Langkah Muar' itu akan bermula dari Jambatan Muar pada jam 6.30 pagi esok dan dijangka menamatkan larian pada Isnin ini, dengan sasaran untuk mengumpul dana sebanyak RM100,000.
"Dana ini akan dibahagikan untuk tiga perkara. Pertama adalah membiayai pembukaan pusat khidmat rakyat Parlimen Muar dan gaji-gaji staf. Kedua, pembeli bakul makanan dan ketiga membeli tablet atau laptop.
"Dalam bakul makanan itu bukan hanya barangan asas. Kami ada sertakan juga sebagai contoh golongan veteran, mereka bukan nak makanan tetapi lampin pakai buang atau susu formula.
"Selain meraih dana, (larian ini) untuk menghantar isyarat jelas mewakili rakyat Muar dan Malaysia supaya kita dapat meminda akta atau adakan akta baharu agar semua kawasan Parlimen, tak kira kerajaan atau pembangkang dapat diberikan peruntukan yang adil," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Jelas Syed Saddiq, larian tersebut juga akan disiarkan secara langsung di sosial medianya bagi memastikan ketelusan.
"Kita akan pecahkan kepada beberapa jalan, dan larian sejauh 200km ini bukan tanpa henti. Tetapi sasarannya setiap hari saya perlu tamatkan satu 'ultramarathon' iaitu melebihi 52km.
"Sasaran larian setiap hari sekurang-kurangnya 65km bermula pagi esok," tambah bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Mengulas mengenai rundingan peruntukan pembangkang, Syed Saddiq berkata sehingga kini beliau telah melakukan tiga proses rundingan namun kesemuanya belum mendapat sebarang maklum balas.
Pada rundingan pertama, beliau telah menyatakan kesediaan untuk menandatangani memorandum bagi mencapai kestabilan politik.
"Saya tiada masalah untuk ada kestabilan kerana ini adalah kehendak rakyat Malaysia. Tetapi pada masa sama tidak menidakkan peranan pembangkang, iaitu semak dan imbang," katanya.
#Syed Saddiq lari 200km #Syed Saddiq kumpul dana #peruntukan pembangkang
;