Syed Saddiq ketuai Kaukus Parlimen kaji ketum, kanabis
Firdaus Azil
Oktober 14, 2021 10:28 MYT
Oktober 14, 2021 10:28 MYT
KUALA LUMPUR: Sembilan Ahli Parlimen hari ini telah bersetuju untuk menubuhkan satu kaukus baru untuk mengkaji isu kawal selia penggunaan ketum dan kanabis untuk perubatan.
Menurut satu kenyataan media, objektif kajian pengawalseliaan bahan itu, adalah demi mengurangkan kemudaratan, dan menjadikan ia sebagai salah satu bentuk perubatan yang diiktiraf di Malaysia.
Menurut kenyataan itu lagi, Kaukus Medical Cannabis itu diwakili Ahli-Ahli Parlimen merentas pelbagai parti, sebagai salah satu usaha bipartisan yang murni dalam merangka dasar dan strategi untuk mengkaji kawal selia penggunaan ketum dan kanabis untuk perubatan.
“Sebagai sebahagian dari rangka kerja awal, Kaukus Medical Cannabis akan bertemu dengan kumpulan pakar kesihatan, penyelidik, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan berkaitan serta kementerian yang terlibat bagi mendapatkan pandangan untuk pembentukan dasar.
“Hasil daripada penubuhan ini, Kaukus Medical Cannabis akan hadir dengan draf cadangan untuk perhatian Kerajaan Malaysia bagi memastikan pesakit yang bergantung kepada kaedah perubatan ketum dan Medical Cannabis dapat dijaga melalui sistem kesihatan negara,” menurut kenyataan itu lagi.
Selain itu ia menyebut, penubuhan Kaukus berkenaan juga selaras dengan usaha untuk mengembangkan industri ketum dan Medical Cannabis di Malaysia, yang boleh memberi manfaat kepada industri kesihatan negara dan rakyat tempatan.
Kaukus Medical Cannabis, menurut kenyataan itu lagi, percaya bahawa semangat bipartisan yang diangkat ini akan dapat diterjemah kepada dasar dan strategi yang baik untuk kebaikan rakyat dan negara.
Kaukus berkenaan dipengerusikan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas – Muar), dan dianggotai Datuk Seri Azalina Othman Said (BN – Pengerang), Khalid Abdul Samad (PH – Shah Alam), Datuk Dr Xavier Jayakumar (Bebas – Kuala Langat), dan Datuk Ignatius Darell Leiking (Warisan – Penampang).
Selain itu, ia turut dianggotai Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH – Bandar Kuching), Dr Azman Ismail (PH – Kuala Kedah), Lukanisman Awang Sauni (GPS – Sibuti), dan Ahmad Fadhli Shaari (PN – Pasir Mas).