Syed Saddiq junjung kasih TMJ bantu rakyat Muar, mohon maaf atas kesilapan

Faris Danial Razi
Disember 29, 2020 21:14 MYT
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas sumbangan sebanyak RM300,000 kepada anak-anak Muar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) atas sumbangan Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada penduduk Muar.
Dalam satu kenyataan di akauan media sosialnya, TMJ mengumumkan sumbangan sebanyak RM300,000 kepada anak-anak Muar.
“Patik menjunjung kasih kepada Tunku kerana sudi menyumbangkan RM300,000 kepada anak-anak Muar. Patik dan orang Muar terhutang budi pada jasa baik Tunku.
“Patik percaya, yang kita perlu sentiasa membuat baik dan berlumba-lumba untuk membuat perkara yang baik," jelas Syed Saddiq.

Terima kasih Tunku Mahkota Johor atas sumbangan yang diberikan ke Muo. Patik & orang Muo terhutang budi ke Tunku. Fastabiqul Khairat. May Allah bless Tunku & family. pic.twitter.com/xLifgTMNf6

— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) December 29, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam masa sama, Syed Saddiq memohon maaf kepada Tunku Ismail di atas kesilapannya yang dilihat cuba untuk meminta simpati daripada rakyat supaya menghulurkan bantuan kepadanya.
“Sebagai manusia biasa, patik tidak terlepas daripada membuat kesilapan, patik mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun, sekiranya ada tersinggung perasaan Tunku dan keluarga.
“Sebagai anak jati kelahiran Johor, yang membesar di Johor dan sekolah di Johor, patik dan seluruh keluarga amat terhutang budi kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor, Tunku dan seluruh keluarga selaku pemerintah kerajaan negeri Johor.
"Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan melindungi Tunku dan keluarga,” kata Syed Saddiq lagi.
Terdahulu, Syed Saddiq menyatakan kempen tersebut adalah untuk mengutip dana bagi membeli sebuah komputer riba buat 100 orang pelajar dalam kawasan Parlimen yang diwakilinya.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga sebelum ini melancarkan kempen #1keluarga1laptop tersebut dengan matlamat setiap keluarga di Parlimen Muar akan memiliki sebuah komputer riba untuk kegunaan anak-anak mereka.
#Syed Saddiq #Sultan Ibrahim #Tunku Ismail #Sultan Johor #TMJ #Parlimen #Muar #Belia #pelajar #kerajaan
;