Syed Saddiq dipanggil rekod keterangan di Bukit Aman
Umavathi Ramayah
Jun 18, 2020 14:27 MYT
Jun 18, 2020 14:27 MYT
Polis memanggil bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk direkodkan keterangan berhubung temu bual beliau dalam saluran berita antarabangsa, Al Jazeera pada 6 Mac lalu yang didakwa berunsur hasutan.
Syed Saddiq berkongsi perkara itu dalam cipaan di Twitternya pada pukul 1.52 petang, Khamis.
"Saya telah dipanggil oleh Bukit Aman untuk memberi keterangan siasatan bagi temu bual saya bersama Mehdi Hasan.
"Temubual ini untuk siaran Al Jazeera pada 6 Mac 2020 (hampir 4 bulan lepas)," katanya.
Malah Ahli Parlimen Muar itu turut menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama penuh kepada polis.
"Berani kerana benar,” katanya lagi.
Antara lain, Saddiq Syed juga memaklumkan yang dia disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan Syed Saddiq dipanggil untuk membantu siasatan.
#akta hasutan
#Akta Komunikasi dan Multimedia
#AL-Jazeera
#Bukit Aman
#cipaan
#Jabatan Siasatan Jenayah
#keterangan
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
#Twitter