Syed Saddiq dapat sementara pasport untuk hadiri forum di Jakarta

Bernama
November 12, 2024 12:22 MYT
Syed Saddiq membuat permohonan itu bagi menghadiri bengkel dan forum selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Nov di Jakarta. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkan beliau ke Jakarta, Indonesia.
Beliau membuat permohonan itu bagi menghadiri bengkel dan forum selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Nov iaitu Building Your Coalition dan Special Conversation with YB Syed Saddiq: Reflection on Pursuing a Healthy and Resilient Democracy anjuran Komuniti Dasar Luar Indonesia (FPCI).
Panel tiga hakim dibarisi Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan Syed Saddiq selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd A'fif Ali tidak membantah.
Syed Saddiq diwakili peguam Kee Wei Lon.
Mahkamah Rayuan pada Mei lepas telah membenarkan permohonan sama daripada Syed Saddiq dan beliau dibenarkan menghadiri majlis perkahwinan di Singapura serta mengunjungi Taiwan bagi memenuhi jemputan Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia.
Pada Ogos, beliau diberi kebenaran untuk menghadiri acara ASEAN Halal Pavilion anjuran Tahira Group, di Bangkok, Thailand.
Pada 9 Nov tahun lepas, Syed Saddiq dihukum penjara tujuh tahun dengan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, penyelewengan dana dan pengubahan wang haram.
Beliau kemudian memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada hari yang sama.
Syed Saddiq, 31, yang merupakan Menteri Belia dan Sukan dari 2018 hingga 2020, didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana terbabit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Bhd, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.
Syed Saddiq juga berhadapan dua pertuduhan pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, daripada akaunnya Maybank Islamic Bhd ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.
Ia ditetapkan pada 25 Nov ini untuk pengurusan kes.
-- BERNAMA
#Syed Saddiq #kes mahkamah #pasport #keputusan mahkamah
;