Syed Razak insan kuat walaupun alami strok lebih 20 tahun - Isteri bekas MB Kedah

Adie Sufian Zulkefli
Mac 8, 2023 18:15 MYT
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Nurul Ehsan, Kubang Rotan, Alor Setar jam 7 malam ini. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Suasana pilu menyelubungi perkarangan rumah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain sewaktu jenazah dibawa keluar dari perkarangan rumahnya di Taman Aman Jaya, Zon Anggerik Sungai Petani petang tadi untuk dikebumikan.
Isteri Allahyarham, Datin Seri Syarifah Hamidah Syed Hamid, 73, yang ditemui Astro AWANI di kediamannya itu berkata beliau masih terkejut dengan pemergian suaminya itu jam 11 pagi tadi, namun reda.
Beliau memaklumkan, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan ganjil dan melakukan aktiviti harian seperti biasa selepas dibenarkan pulang dari hospital pada Selasa.
"Arwah bangun dari katil pergi le tandas sendiri dan tidak tunjuk yang dia tidak sihat.
"Allahyarham mengadu sakit dada kira-kira jam 3.30 pagi tadi, anak saudara ada menemani dan membantu saya menjaga Allahyarham, saya bantu urut dada beliau.
“Walaupun mengalami strok 20 tahun lalu namun arwah seorang yang kuat semangat. Saya pun tak sangka yang arwah akan meninggal dunia ketika tidur," katanya.
Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik tidak dikurniakan anak selepas mendirikan rumah tangga pada 1970-an.
Sementara itu seorang waris terdekat yang enggan dikenali berkata pemergian Allahyarham sangat mengejutkan mereka sekeluarga.
"Allahyarham memang agak lemah sikit sepanjang minggu ini namun masih berselera makan.
“Tetapi tiga hari lepas arwah dimasukkan ke wad Hospital Pantai kerana tekanan darah rendah dan dibenarkan keluar keluar wad semalam.
"Namun kira-kira pukul 10.30 pagi tadi, kami perasan yang bapa saudara saya tidak bernafas lagi," katanya.
Jenazah Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di rumahnya pada jam 4 petang tadi sebelum dibawa van jenazah pada jam 4.15 petang ke Kubang Rotan diringi kenderaan polis.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Nurul Ehsan, Kubang Rotan, Alor Setar jam 7 malam ini.
Syed Razak adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan dan menjadi Menteri Besar Kedah bermula 1999 hingga 2005.
Allahyarham meletak jawatan sebagai Menteri Besar ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, susulan masalah kesihatan dan digantikan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
#Syed Razak Syed Zain #meninggal dunia #bekas menteri besar kedah #Syarifah Hamidah
;