Syed Imran, Papagomo tak wakili Najib - Yana
Faida Rahim
Julai 30, 2023 23:17 MYT
Julai 30, 2023 23:17 MYT
KUALA LUMPUR: Anak kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa Najib menafikan Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz dan Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai 'Papagomo' menerima arahan daripada bapanya untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Nooryana yang juga Exco Pergerakan Puteri UMNO itu membuat penjelasan tersebut selepas menerima mesej daripada bapanya pada pagi Ahad.
“Pagi tadi Yana terima mesej daripada Daddy (Najib). DSN (Datuk Seri Najib) ingin tegaskan bahawa Syed Imran dan Papagomo tidak mewakili DSN mahupun penyokong-penyokong DSN.
“Syed Imran juga tidak diarahkan oleh DSN untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai pendirian DSN,” katanya dalam catatan tersebut.
Jelas Nooryana, bapanya sudah berada di penjara hampir setahun dan tidak adil untuk membuat sebarang tuduhan terhadap mana-mana individu 'menunggang' atau mempergunakan nama Najib Razak.
“Telah banyak ujian dan cabaran yang telah DSN lalui. DSN tahu menilai yang mana satu kawan yang mana satu lawan,” katanya.
Ujarnya, pendirian rasmi DSN hanya sah sekiranya ianya dimuat naik dalam saluran media sosial rasmi milik DSN melalui mesej kepada peguamnya.