Syed Hamid tidak sambung peranan sebagai Duta Khas OIC bagi Myanmar

Bernama
Februari 15, 2017 15:46 MYT
Menurut Syed Hamid, tempoh tiga bulan yang ditawarkan oleh OIC terlalu singkat untuk membolehkannya menunaikan tugas yang perlu dilaksanakan. - Gambar fail
Tan Sri Syed Hamid Albar berkata beliau mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak sebagai Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi Myanmar.
Katanya, OIC yang berpejabat di Jeddah, menawarkan lanjutan kontrak selama tiga bulan untuk tugas itu, namun beliau menolaknya kerana tempoh itu terlalu singkat untuk membolehkannya menunaikan tugas yang perlu dilaksanakan.
Bekas Menteri Luar itu berkata pertubuhan 57 anggota berkenaan telah dimaklumkan tentang keputusan beliau itu berikutan berakhirnya kontrak beliau pada Disember tahun lepas.
Syed Hamid, yang juga presiden HUMANiTi Malaysia, badan bukan kerajaan yang memperjuangkan isu pendidikan dan kemanusiaan, menyatakan demikian selepas melancarkan Rohingya Integrated School of Excellence (RISE) di Kajang, dekat sini hari ini.
"Saya harap Malaysia akan terus menyuarakan nasib malang yang menimpa masyarakat itu di Myanmar," katanya.
Beribu-ribu orang Rohingya melarikan diri dari Myanmar berikutan laporan kekejaman yang dilakukan terhadap masyarakat berkenaan di negara itu. -- Bernama
#etnik rohingya #Myanmar #oic #penindasan Rohingya #Tan Sri Syed Hamid Albar
;