Syed Azhar Syed Nazir dilantik Presiden baharu KLTA bagi penggal 2024-2026

Israr Khalid
Ogos 1, 2024 06:35 MYT
Presiden baharu KLTA, Syed Azhar Syed Nadzir bersama barisan Exco persatuan itu untuk dua tahun mendatang.
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Elang Wah Sdn. Bhd. (EWSB) Syed Azhar Syed Nadzir dipilih sebagai Presiden Persatuan Pelancongan Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Tourism Association, KLTA) yang baharu untuk penggal 2024-2026.
Beliau bukan susuk baharu dalam dunia pelancongan ibu negara, mengemudi EWSB selaku operator utama perkhidmatan bas pelancong dua tingkat popular “KL Hop-On Hop-Off.”
Syed Azhar menamatkan pengajian di Institut Teknologi Mara (ITM) - kini Universiti Teknologi Mara (UiTM) - dengan Diploma Pentadbiran Am pada 1994, sebelum menyertai kursus di Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) pada 1999.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di South Bank University, London dan melengkapkan Sarjana Sains dalam Tadbir Urus Korporat pada 2001.
Syed Azhar merupakan pengasas juga Ketua Pegawai Eksekutif EWSB, syarikat yang menghadirkan “KL Hop-On Hop-Off” yang menjadi salah satu tarikan utama pelancong dalam dan luar negara untuk menikmati pemandangan dan suasana Kuala Lumpur dalam lawatan berpandu di atas bas dua tingkat dengan bumbung terbuka.
Mesyuarat Agung Tahunan ke-59 KLTA yang dipengerusikan Presiden terdahulu dari Rimba Way Eco Tourism Sdn. Bhd. Farouk Nurish di Menara Kuala Lumpur pada 30 Julai 2024 turut melantik barisan Exco baharu untuk persatuan tersebut
Berikut adalah senarai anggotanya:
Presiden : Elang Wah Sdn. Bhd. (diwakili Syed Azhar Syed Nazir)
Naib Presiden : My Driver Sdn. Bhd. (diwakili Datuk Seri Troy Pereira)
Setiausaha Kehormat : Institute of Business Excellence (IBE) Universiti Teknologi MARA (diwakili Dr. Mohd Raziff Jamaluddin)
Bendahari Kehormat : ARCH Collection Sdn. Bhd. (diwakili Andrew Lee)
Ahli Exco : Trinidad Holdings Sdn. Bhd. (diwakili Datuk Seri Indera Naresh)
Ahli Exco : KPJ Healthcare Bhd. (diwakili Khairuddin Khudri)
Ali Exco : Mudrock Media Sdn. Bhd. (diwakili Kong Kitt Yee)
Ahli Exco : Hotel Furama (diwakili Chua Adrian)
Ahli Exco : Menara Kuala Lumpur (diwakili Nazli Saad)
KLTA diasaskan pada 1963 untuk mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi perdana pelancong dan meningkatkan pengalaman untuk pengunjung tempatan dan dari luar negara.
Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) baharu yang dilantik menyatakan komitmen mereka untuk meneruskan usaha barisan penggerak sebelum ini, memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan lestari, kerjasama industri, dan advokasi untuk kepentingan ahlinya.
#KLTA #pelancongan #Kuala Lumpur