Syed Afendy Ali mengaku tidak bersalah pertuduhan rasuah
Astro Awani
September 9, 2016 17:24 MYT
September 9, 2016 17:24 MYT
Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas tuduhan berkaitan rasuah.
Ia termasuk sembilan pertuduhan rasuah bernilai RM2.9 juta dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM1.5 juta.
Hakim Allaudeen Ismail membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta bagi semua pertuduhan dan menetapkan 13 Oktober untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen berkaitan.
Mahkamah memerintahkan supaya tertuduh mendepositkan wang jaminan RM400,000 pada Jumaat sementara baki RM600,000 lagi pada Rabu depan.
Perbicaraan akan didengar pada 9 hingga 13 Januari 2017.
Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya, Aida Adha Abu Bakar dan Ahmad Akram Karim manakala tertuduh diwakili peguam M. Athimulan dan T. Gunaseelan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menahan reman Syed Afendy Ali selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Ogos lalu sebelum menyambung tempoh reman selama lima hari lagi sehingga 27 Ogos.