Sybil Kathigasu bukan sekadar jururawat, memorial peringatan daif perlu baik pulih

Aida Aziz
Februari 24, 2025 09:00 MYT
Klinik Sybil yang terletak di 74, Jalan Besar, Papan. - Foto ihsan Nor Hisham Zulkiflee
BATU GAJAH: Bangunan rumah kedai yang dahulunya pernah dijadikan klinik rahsia di Papan dekat sini nampaknya semakin daif dan sangat perlukan kerja baik pulih.
Bangunan berusia kira-kira 100 tahun itu penting kerana ia menyimpan khazanah dan maklumat tentang seorang jururawat atau lebih tepat wira Papan menentang pendudukan Jepun.
Malah keberanian wanita bernama Sybil Medan Kathigasu ketika Perang Dunia Kedua itu ada diceritakan dalam silibus mata pelajaran Sejarah Tingkatan 4.
Selain itu, jururawat Katolik Eurasia itu juga tidak membocorkan rahsia kepada kempeitai (polis tentera Jepun), walaupun diseksa dengan kejam hampir dua tahun di penjara Batu Gajah.
Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, wanita berani itu turut memberi rawatan percuma kepada golongan miskin.
Ia termasuk membantu Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA) yang ketika itu bekerjasama dengan tentera British apabila Jepun menyerang Tanah Melayu pada Disember 1941.
"Sybil dan suaminya yang juga doktor berpindah ke pekan Papan dan membuka sebuah klinik di kediamannya.
"Suaminya mengusahakan klinik di Ipoh, manakala Sybil merawat dan membantu orang ramai termasuk MPAJA di Papan.
"Ketika MPAJA hendak datang waktu malam untuk minta bantuan, beliau akan memberi isyarat melalui pintu belakang," katanya.
Jururawat itu juga memiliki radio dikenali sebagai 'Josephine' yang disembunyikan dalam lubang bawah tangga.
"Beliau menetap di Papan selama 20 bulan sebelum kegiatannya terbongkar dan ditangkap kempeitai pada Julai 1943 hingga September 1945.
"Kempeitai menggunakan pelbagai cara kejam untuk menyeksa Sybil bagi mengorek rahsia, selain mengugut untuk mencederakan anaknya.
"Akibat kecederaan teruk, beliau lumpuh selepas perang dan mendapatkan rawatan di London.
"Kisahnya mendapat pengiktirafan dunia selain menerima anugerah tertinggi dari raja British.
"Berikutan cedera teruk, tidak lama kemudian Sybil meninggal dunia di United Kingdom dan jasadnya dibawa pulang serta disemadikan di Ipoh," katanya.
Sehubungan itu, pada 2003 rumah kedai itu dijadikan memorial peringatan Sybil Kathigasu oleh ahli Persatuan Warisan Perak, Law Siak Hong.
Banyak peralatan serta perubatan yang digunakannya dipamer kepada pengunjung di sini, bagaimanapun sejak beberapa tahun lalu ia tidak dapat dimasuki pengunjung.
"Keadaan bangunan itu kini boleh dikatakan daif kerana bumbungnya sudah rosak dan memberi kesan kepada bahagian lain.
"Kalau boleh, kita mahu kerajaan negeri atau swasta serta GLC (syarikat berkaitan kerajaan) bantu sama-sama pulihara bangunan bersejarah ini.
"Ketika ini semua maklumat hanya dipaparkan di bahagian luar kerana dalamnya agak tidak sesuai untuk dimasuki. Semoga ia dapat dibaik pulih bagi mengelakkan ia rosak begitu saja," katanya.
#Sybil Kathigasu #Jepun #papan #klinik rahsia #memorial peringatan
;