Syawal ini eloklah bermaafan jika keterlaluan semasa kempen PRU lalu - Najib

Rahimah Abdullah
Jun 16, 2018 17:36 MYT
Datuk Seri Najib mengakui sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini. - Sumber foto FB Najib Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua pihak perlu mengambil kesempatan di bulan Syawal untuk memohon maaf antara satu sama lain terutama setiap tindakan atau pertuturan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
Jelas bekas Perdana Menteri itu, ini bagi merapatkan semula hubungan silaturrahim dan mengelakkan perpecahan sesama ummah.
"Pada bulan Syawal ini eloklah kita eratkan silaturrahim kita dan jika semasa kempen PRU14 lalu, ada apa-apa yang dibuat atau dipertuturkan secara keterlaluan, ambillah kesempatan ini untuk bermaaf-maafan dan merapatkan silaturrahim kita agar umat Islam tidak akan berpecah dan kita dapat menentukan masa depan yang cemerlang atas nama bangsa, agama Islam dan negara Malaysia kita yang tercinta," katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.
Bekas Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO itu juga mengakui sambutan Hari Raya Aidilfitri disambutnya tahun ini berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini.
"Walaupun hari raya pada kali ini sudah tertentu berbeza dengan hari raya sebelum ini di mana kita tidak lagi merupakan dalam pentadbiran kerajaan. Namun perjuangan kita untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan menentukan negara sentiasa aman dan rakyat mendapat pembelaan yang secukupnya. Insyaallah akan kita teruskan," ujarnya.
Ketika ini katanya, beliau lebih banyak masa dengan keluarga terutama semasa menyambut Aidilfitri.
#Aidilfitri #Barisan Nasional #hari raya #Islam #keluarga #kerajaan #Malaysia #menteri #Najib Razak #Perdana Menteri #pilihan raya #pilihan raya umum #presiden #PRU #PRU14 #rakyat #UMNO #video
;