Syarikat telekomunikasi diminta kaji semula yuran perkhidmatan, bantu rakyat - Fahmi Fadzil

Israr Khalid
Disember 15, 2022 05:15 MYT
FAHMI: Tak kiralah 4G ke 5G ke, paling penting adalah apakah yang boleh kita lakukan untuk memudahkan hidup rakyat. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil menggesa syarikat telekomunikasi untuk mempertimbangkan semakan semula yuran perkhidmatan yang dikenakan kepada pengguna.
Ujarnya, ketika ini situasi ekonomi yang sangat mencabar dan syarikat telekomunikasi wajar melihat tanggungjawab sosial mereka untuk meringankan beban rakyat terutamanya mereka yang kurang bernasib baik.
Telekomunikasi hari ini bukan lagi satu kehendak tetapi keperluan semua lapisan masyarakat tidak kira yang miskin mahupun yang kaya.
“Bagi saya, tidak kiralah 4G ke 5G ke atau kemudian nanti ada 6G dan sebagainya, paling penting adalah apakah yang boleh kita lakukan untuk memudahkan hidup rakyat.
“Sebagai contoh, ada seorang ayah yang tinggal di PPR (Program Perumahan Rakyat), ada isteri dan beberapa orang anak yang masing-masing perlu menggunakan telefon untuk belajar secara atas talian.
“Kalau satu ‘line’ pun kosnya begitu tinggi, apatah lagi dia perlu menanggung banyak ‘line’ seperti ini,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Khamis.
Maka beliau berharap agar sesuatu dapat dilakukan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi dalam negara dalam masa terdekat.
Berkenaan perkhidmatan 5G pula, Fahmi memaklumkan bahawa Perdana Menteri telah mengarahkan supaya Kementerian Kewangan dengan Kementerian Komunikasi dan Digital berbincang untuk melihat perkara yang perlu dibuat supaya pelaksanaannya dapat dipercepat dan berjalan dengan baik.
Syarikat telekomunikasi diminta kaji semula yuran perkhidmatan, bantu rakyat - Fahmi Fadzil
#Fahmi Fadzil #syarikat telekomunikasi #yuran perkhidmatan #PantauKerajaanBaharu
;