Syarikat tampil dakwa bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 milik mereka
Sinar Harian
Mac 21, 2024 06:10 MYT
Mac 21, 2024 06:10 MYT
PETALING JAYA: Satu laporan polis dibuat sebuah syarikat mendakwa bagasi berisi wang tunai melebihi RM500,000 yang ditemui di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Damansara dekat sini milik mereka.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
"Polis menerima satu laporan polis yang dibuat di Shah Alam oleh syarikat terbabit.
"Jadi siasatan sedang dijalankan polis untuk memastikan wang itu benar milik syarikat terbabit," katanya pada Khamis.
Sebelum itu, dalam sidang akhbar, Hussein memberitahu seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya menemui bagasi terbabit di tempat meletak kenderaan di premis tersebut, pada Rabu.
Pihak pengawal keselamatan pusat beli-belah kemudian membuat laporan polis berhubung penemuan itu di IPD Petaling Jaya.
Pemeriksaan pada beg bagasi warna merah jambu dan putih bersaiz sederhana itu berisi nota wang kertas RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.