Syarikat Sweden sokong peralihan hijau Malaysia dengan pelaburan mampan - Duta
Bernama
Oktober 31, 2024 12:00 MYT
Oktober 31, 2024 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat terkemuka Sweden yang telah melabur dalam pembangunan perindustrian Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan, meminjamkan kepakaran mereka dalam usaha peralihan ekonomi hijau negara dengan tumpuan kepada agenda kemampanan.
Kerjasama ini sejajar dengan komitmen kedua-dua negara terhadap perlindungan alam sekitar, membentuk teras untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, kata Duta Besar Sweden ke Malaysia, Niklas Wiberg.
Wiberg berkata, peralihan dasar Malaysia ke arah ekonomi hijau dijangka menarik lebih banyak pelabur asing, terutamanya firma Sweden yang mempunyai kepakaran dalam tenaga boleh baharu (RE) dan amalan ekonomi sirkular.
Beliau berkata, firma Sweden di Malaysia memberi sumbangan penting terhadap RE dan penyelesaian inovatif negara, sambil menambah sektor seperti tenaga hijau dan telekomunikasi menawarkan peluang pelaburan kepada syarikat Sweden dalam amalan mampan.
"Syarikat Sweden memacu peralihan grid di sini di Malaysia melalui RE dan inovasi tenaga, dan menggalakkan amalan ekonomi sirkular dengan cara yang sangat jelas," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif susulan bermulanya khidmat beliau sebagai Duta Besar ke Malaysia.
Wiberg secara rasmi memulakan perkhidmatannya sebagai Duta Besar Sweden ke Malaysia pada 15 Ogos 2024, menggantikan Dr. Joachim Bergstrom, dan menyampaikan tauliah beliau kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 21 Okt 2024.
Firma Sweden galakkan amalan mampan
Wiberg berkata, syarikat utama Sweden, seperti Atlas Copco (penyelesaian tenaga), Alfa Laval (rawatan air dan sisa), SKF (kejuruteraan automotif dan industri) dan Sandvik (kejuruteraan multinasional) telah menggabungkan amalan mampan dalam operasi mereka di Malaysia, dengan tumpuan terhadap RE dan penyelesaian tenaga inovatif.
Gergasi automotif Volvo dan Scania, yang telah beroperasi di Malaysia sejak 1967, juga menumpukan kepada mobiliti hijau, mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid serta mempromosikan biofuel.
"Begitu juga, gergasi runcit IKEA menyepadukan kemampanan ke dalam operasinya, menawarkan produk cekap tenaga termasuk perabot terkenal mereka menggunakan RE," katanya.
Peneraju telekomunikasi Sweden, Ericsson, juga mengorak langkah bekerjasama dengan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk membangunkan rangkaian 5G Malaysia sambil mengutamakan kecekapan tenaga dalam sektor telekomunikasi.
"Kerjasama DNB dan Ericsson melancarkan salah satu rangkaian 5G terbaik dunia dalam masa yang singkat amat mengagumkan. Saya fikir banyak negara yang menunjukkan minat terhadap model Malaysia itu," katanya.
Mengenai kenderaan elektrik (EV), beliau berkata di Sweden dan negara-negara yang beliau pernah berkhidmat, titik permulaan untuk meningkatkan penggunaan EV adalah dengan menyediakan infrastruktur sokongan yang kukuh.
"Ini termasuk kemudahan mengecas kenderaan di tempat kerja dan di rumah, bagi membolehkan pengguna "menggunakan kenderaan elektrik jika mereka ingin berbuat demikian," kata Wiberg sambil menambah Sweden menyediakan subsidi untuk kereta elektrik, trak dan bas.
Untuk menyokong matlamat hijau Malaysia, Kedutaan Sweden dan Perniagaan Sweden pada 2023 telah memperkenalkan platform "Pioneer the Possible", mengetengahkan inovasi Sweden dalam amalan mampan.
"Melalui platform ini, kami terus mencatatkan kemajuan ketara dengan membina perkongsian bersama rakan kongsi kami di Malaysia, memfokuskan pada inovasi mampan dan kecekapan sumber," katanya.
Perkukuh perkongsian untuk capai masa depan lebih hijau di Malaysia
Menurut Wiberg, sebagai Duta ke Malaysia misinya adalah untuk mengukuhkan perkongsian hijau ini dan meneroka peluang baharu bagi inisiatif bersama sejajar dengan matlamat dan usaha kemampanan untuk memastikan masa depan yang lebih hijau di Malaysia serta keseluruhan rantau ini.
Beliau berkata Malaysia mempunyai perancangan besar dalam peralihan digital dan hijau, seperti yang dibuktikan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Menurutnya, Malaysia bukan sahaja mencapai perjanjian perdagangan bebas dengan ekonomi serantau tetapi juga mengembangkan perdagangan dan pelaburan dengan negara di luar rantau ini.
Terdapat juga insentif daripada kerajaan untuk melabur di Malaysia, terutamanya dalam sektor teknologi dan tenaga hijau.
"Permintaan yang lebih kukuh terhadap produk mampan menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik kepada syarikat Sweden," kata Wiberg.
Justeru, beliau berkata Sweden berharap untuk meneruskan lagi agenda kemampanan dan menyediakan kecekapan yang diinginkan Malaysia berdasarkan bidang yang dikenal pasti dalam rancangan pembangunan nasional kerajaan.
Persaingan antara China dan Kesatuan Eropah dalam industri EV
"China juga mengeluarkan kereta elektrik yang hebat, tetapi penting untuk menyediakan inisiatif bagi pasaran yang benar-benar kompetitif," kata Wiberg sambil menekankan keperluan pelaksanaan amalan adil yang menggalakkan inovasi sambil mempromosikan kemampanan.
Bersama-sama dengan Amerika Syarikat dan Kanada, Kesatuan Eropah telah mengenakan duti timbal balas ke atas import kenderaan elektrik bateri (BEV) dari China selepas siasatannya menyimpulkan bahawa rantaian nilai EV di China mendapat manfaat daripada subsidi yang tidak adil.
"Sweden sentiasa menyokong pasaran kompetitif yang adil kepada pengeluar dan pengguna," katanya.
Wiberg berkata, sektor automotif sedang melalui transformasi penting, sambil menambah pengeluar kereta Sweden semakin pantas menuju ke arah pengeluaran kenderaan elektrik sepenuhnya, dengan sasaran menghasilkan hampir 100 peratus EV menjelang 2030. - BERNAMA