Syarikat swasta digalak bantu graduan dalam bidang digital

Fareez Azman
September 28, 2019 17:25 MYT
Maszlee Malik pada majlis pelancaran Program KPM-Celcom Siswapreneur@ Google Bootcamp 2019 di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengalakkan penyertaan lebih banyak syarikat swasta untuk bersama-sama kerajaan membangunkan bidang digital di negara ini.
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, jalinan kerjasama itu mampu melahirkan lebih ramai graduan dengan nilai kebolehpasaran yang tinggi.
Menurut beliau, contoh terbaik adalah seperti inisiatif yang dijalankan oleh syarikat telekomunikasi Celcom Axiata Berhad dan Google menerusi Program KPM-Celcom Siswapreneur@ Google Bootcamp 2019 yang masuk tahun kedua penganjurannya.
“Ini merupakan antara usaha perkongsian pihak swasta - awam dalam membina sikap keusahawanan dikalangan graduan kita.
"Kita juga ingin menanam Digital Skills di kalangan graduan kita supaya mereka bersiap sedia menghadapi masa depan lebih mencabar.”
“Kita ucapkan terima kasih Celcom dan Google, kita galakkan lebih banyak syarikat swasta lebih bekerjasama dengan universiti dan politeknik kita untuk mendidik Digital Skills dan Entrepreneur Skills,” kata beliau.
Maszlee berkata demikian selepas melancarkan Program KPM-Celcom Siswapreneur@ Google Bootcamp 2019 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini pada Sabtu.
Berlangsung selama dua hari itu, program itu melibatkan 250 siswazah dari 40 universiti awam, swasta serta politeknik dan kolej dari seluruh negara.
Sepanjang program itu, eserta akan didedahkan dengan modul latihan asas perniagaan, asas pemasaran digital, alat atas talian dan strategi media sosial.
Dalam majlis pelancaran itu juga, Universiti Malaya, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Pertahanan Nasional telah menandatangani perjanjian persefahaman utk menyertai program berkenaan.
Hadir sama dalam program itu, Ketua Strategi dan Pegawai Penciptaan Nilai Celcom Axiata Berhad, Munif Kamaruddin dan Ketua Dasar Awam Google, Nick Bauer.
#Celcom Siswapreneur #Google Bootcamp #Kementerian Pendidikan #Maszlee Malik #Universiti Teknologi Malaysia
;