Syarikat Singapura bakal melabur dalam pertanian Sarawak

Bernama
Mei 13, 2022 08:15 MYT
Stephen Rundi Utom mencuba bakat terpendam memasak kuih tradisional kaum Dayak Chap/Loyang/penganan. -Gambar fail/Bernama
KUCHING: Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak sedang berbincang dengan sebuah syarikat dari Singapura mengenai minat mereka untuk melabur dalam sektor pertanian di negeri itu.
Tanpa mendedahkan butiran mengenai syarikat itu, menteri Datuk Seri Stephen Rundi Utom berkata penglibatan syarikat itu akan memudahkan kementerian itu dalam misinya untuk membawa sektor pertanian negeri ke dalam perniagaan tani.
"Petani kita akan dapat belajar daripada mereka; menerusi pengaturan ini, kami boleh menjamin bahawa produk mereka (petani Sarawak) akan sesuai (dijual) di Singapura dan bahagian lain di dunia," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan acara pra-Gawai, Mantar Aco Lepa Birami Gawai oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini pada Khamis, beliau berkata penglibatan sektor swasta adalah penting bagi membolehkan Sarawak menjadi pengeksport bersih produk makanan menjelang 2030.
Rundi berkata pada masa ini, tahap sara diri makanan Sarawak berada pada kira-kira 38 peratus, sambil menambah bahawa kementerian akan terus mencari cara untuk meningkatkan peratusan itu sehingga 60 peratus menjelang 2030, termasuk memodenkan aktiviti pertanian.
"Objektif utama adalah supaya negeri ini mencapai tahap sara diri makanan dan pengeksport bersih.
"Ini semua mengenai teknologi baharu, pertanian moden, pertanian pintar IoT (internet pelbagai benda), kami memerlukan semua cara moden baharu ini untuk melakukan sesuatu," tambahnya.
-- BERNAMA
#Stephen Rundi Utom #syarikat dari Singapura #melabur dalam sektor pertanian Sarawak #pengeksport bersih produk makanan
;