Syarikat perladangan dicadang kembalikan 20 peratus tanah pajakan untuk faedah rakyat

Bernama
September 1, 2024 18:43 MYT
Ahmad Zahid beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada majlis pecah tanah jalan utama Parit 1 - Parit 10 di Kampung Sungai Pergam hari ini. --fotoBERNAMA
BAGAN DATUK: Syarikat-syarikat perladangan yang telah tamat tempoh pajakan dengan kerajaan, dicadang untuk mengembalikan 20 peratus daripada keluasan tanah yang dipajak itu kepada kerajaan negeri, jika mahu kembali menyambung pajakan.

Ringkasan AI
  • Syarikat perladangan yang tamat tempoh pajakan dicadang untuk mengembalikan 20% daripada keluasan tanah kepada kerajaan negeri jika mahu menyambung pajakan.
  • Cadangan ini sedang dikaji oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bersama kerajaan negeri dan Wilayah Persekutuan untuk memastikan rakyat mendapat faedah daripada tanah yang dikembalikan.
  • Projek menaik taraf jalan dan jambatan di Kampung Sungai Pergam dengan kos RM88 juta dan RM2.9 juta, dijangka siap pada 2028, untuk memudahkan perjalanan penduduk ke Pekan Bagan Datuk.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu sedang dikaji dengan teliti oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bersama kerajaan negeri termasuk Wilayah Persekutuan sebelum ia dilaksanakan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu) MEB berkata cadangan itu, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membolehkan rakyat mendapat faedah daripada tanah yang dikembalikan itu.
"Kita minta tanah-tanah estet supaya apabila tamat tempohnya, yang lazimnya semasa zaman Inggeris dulu diberikan (pajakan) 99 tahun, dikembalikan hanya 20 peratus sahaja, jika mahu disambung penggunaannya.
"(Jumlah) 20 peratus itu diberikan balik kepada kerajaan negeri untuk kerajaan negeri dapat faedah dibangunkan untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah projek membina dan menaik taraf jalan Parit 1 hingga Parit 10 di Kampung Sungai Pergam, di sini hari ini.
Sementara itu mengenai projek di Kampung Sungai Pergam Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata projek membina dan menaik taraf Jalan Utama Parit 1 sehingga Parit 10 itu, telah diluluskan tahun lepas di bawah Rancangan Boleh Pinda Ke-3, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos pembinaan RM88 juta.
Projek tersebut melibatkan kerja menaik taraf jalan sepanjang empat kilometer (km) dan membina jalan baharu sepanjang 2.5km, yang akan menghubungkan jalan utama Kampung Sungai Pergam sehingga ke Jalan Persekutuan FT69, yang dijangka siap pada 2028.
Beliau berkata projek itu akan melebarkan lagi jalan dan memendekkan perjalanan penduduk Kampung Sungai Pergam ke Pekan Bagan Datuk.
Bagi projek menaik taraf jambatan sempit di Simpang Masjid Al-Quro' pula, ia melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada kepada dua lorong sepanjang 114 meter dan menggantikan jambatan lama dengan pembentung, melibatkan kos RM2.9 juta.
Jambatan itu berada di persimpangan utama Pekan Bagan Datuk yang menghubungkan Kg Pasang Api dan kawasan berhampiran ke laluan utama Jalan Persekutuan FT69.
-- BERNAMA
#Zahid Hamidi #syarikat perladangan #Tanah Pajakan #Pengembalian Tanah #Majlis Ekonomi Bumiputera MEB